MANGGA antara buah bermusim yang tinggi khasiat, namun cepat rosak.
Salah satu cara untuk panjangkan jangka hayatnya ialah melalui proses penyahhidratan bagi menghasilkan mangga kering yang lebih tahan lama serta dapat mengelakkan pembaziran.
Walaupun telah dinyahhidratkan, mangga kering masih menyimpan banyak manfaat untuk kesihatan.
Ia mengandungi vitamin C yang baik untuk kulit, imun badan serta bertindak sebagai antioksidan.
Turut terkandung vitamin A, E dan K yang menyokong kesihatan mata, jantung dan tulang.
Namun, kajian menunjukkan proses pengeringan boleh menjejaskan nutrien sensitif haba seperti beta-karotena yang boleh menyebabkan khasiat berkurang sehingga 53 peratus berbanding mangga segar.
Meskipun begitu, ia masih mengandungi serat diet dan antioksidan penting lain.
Mangga kering sememangnya snek yang sihat jika diambil secara sederhana.
Tapi, perlu diberi perhatian terhadap saiz hidangan kerana ia mengandungi gula semula jadi yang pekat, jadi pilihlah produk tanpa gula tambahan.
Bagi sesetengah individu yang menghidap asma atau alergi, pengawet seperti sulfur dioksida dan kalium metabisulfit yang ditambah bagi mengekalkan warna dan kesegaran boleh mengakibatkan tindak balas alahan.
Terdapat tiga tip penting yang perlu diberi perhatian ketika memilih mangga kering sihat.
1. Semak label dan elakkan produk yang mengandungi gula tambahan, sirap atau jus pekat.
2. Pilih mangga kering tanpa salutan manisan.
3. Sebaiknya, pilih produk dengan satu bahan sahaja iaitu mangga.
Kesimpulannya, mangga kering boleh menjadi snek berkhasiat berbanding jajan manis atau masin, asalkan diambil dalam kuantiti yang wajar dan dipilih dengan teliti.