BILA sebut tentang diet sihat, ramai terus fikir kena kurangkan makan nasi atau pengambilan karbohidrat.
Tapi tidakkah anda berasa pelik melihat orang Jepun kekal kurus, bertenaga dan jarang jatuh sakit walaupun mereka makan nasi hampir setiap hari.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kajian The Lancet, kadar obesiti di Jepun adalah sekitar 4 peratus lebih rendah berbanding Malaysia yang melebihi 15 peratus.
Menurut pakar mata, Masdi Hazli yang aktif membimbing individu untuk mengubah gaya hidup mengikut fisiologi badan, ada satu tabiat kecil tapi sangat berkesan yang diamalkan masyarakat Jepun setiap kali selepas makan.
Tabiat itu ternyata berbeza dengan amalan kebanyakan masyarakat Malaysia yang sudah terbiasa baring depan televisyen atau sambil bermain telefon selepas makan.
Di Jepun, masyarakatnya mengamalkan rutin dipanggil 'shinpai sanpo' iaitu berjalan ringan selepas makan sama ada keliling rumah atau ke kedai berdekatan.
'Shinpai' bermaksud bimbang atau resah manakala 'sanpo' pula membawa erti berjalan.
Walaupun ruang rumah mereka kecil, tabiat ini tetap diamalkan hampir setiap hari terutamanya selepas makan malam.
Nampak remeh, tapi kesannya sangat besar terhadap kesihatan dan metabolisme tubuh.
Berjalan ringan atau 'shinpai sanpo' adalah salah satu gaya hidup sihat.
Beberapa kajian yang dijalankan mengenai langkah ini menunjukkan:
1. Berjalan dua hingga lima minit selepas makan boleh menurunkan paras glukosa (gula) darah secara ketara.
2. Dapat mengurangkan lonjakan insulin dan membantu membakar glukosa dengan lebih efisien melalui pengaktifan otot kecil.
Dengan kata lain, tabiat ringan dan mudah ini membantu elak penyimpanan lemak berlebihan dan mengekalkan metabolisme aktif.
Satu lagi perkara menarik mengenai orang Jepun, mereka tidak 'obses' kira kalori.
Sebaliknya, mereka fokus pada:
1. Makan perlahan
2. Guna pinggan kecil
3. Kurang makanan diproses
4. Hormat waktu makan
5. Amalkan tabiat aktif lepas makan
Gabungan ini membuatkan sistem tubuh mereka bekerja selaras dengan fisiologi semula jadi.
Hasilnya, mereka kekal sihat dan bertenaga walaupun umur mencecah 70 atau 80 tahun.
Kadangkala, bukan makanan seperti nasi atau mi yang buat manusia gemuk tapi tabiat selepas makan dan gaya hidup yang tidak menghormati fisiologi badan.