PENGALAMAN melahirkan anak sememangnya satu situasi yang menyakitkan dan penuh dengan emosi.
Seorang wanita menceritakan pengalaman sewaktu menjalani pembedahan caesarean (czer) dua tahun lalu yang memberi kesan mendalam kepada kehidupannya.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, wanita berkenaan berkata dia 'terperangkap' dalam satu mimpi pelik sejurus diberikan bius sebelum pembedahan dijalankan.
"Saya tiba-tiba ada dekat satu kawasan luas sangat warna putih je. Saya je ada dekat situ.
"Lepas tu dengar satu suara garau lelaki cakap macam ni, 'Kau penat kan jadi isteri dan mak selama ni?
"Nak rehat kan? Rehat la. Aku bagi rehat. Tapi kena buat pilihan, kau nak rehat selamanya ke atau kembali pada keluarga kau," dia mengimbas semula kata-kata yang didakwa didengarinya.
Menurut wanita ini lagi, dalam mimpi itu dia seperti menonton tayangan di wayang besar memaparkan semula semua memori (flashback) indah dan sedih bersama suami serta anak-anak.
Apa yang membuatkan dirinya lebih sebak, dia mengakui wujudnya perasaan penat dan tertekan sebagai ibu bekerja yang perlu menguruskan bisnes walaupun sedang dirawat di hospital.
Ibu yang beranak secara czer boleh mengalami PTSD selepas bersalin. -Gambar hiasan
Malah semasa fasa kehamilan, dia turut mengalami pelbagai komplikasi termasuk fibrosis paru-paru dan pendarahan.
"Saya menangis teruk (dalam mimpi) sebab tak tahu nak pilih apa. Suara tu paksa saya berkali-kali suruh pilih cepat nak rehat ke kembali pada keluarga.
"Tiba-tiba muncul satu pintu hujung bilik dekat kawasan saya tengah berdiri. Suara garau tu marah suruh pilih sekarang. Ada satu kereta api muncul dekat situ menuju ke arah pintu.
"Saya kena pilih sekarang juga sebab pintu tu dah nak tertutup. Jadi saya pilih keluarga sebab flashback wayang besar tu asyik tunjuk momen gembira je.
"Lepas naik kereta api tu, laju gila ia bergerak menuju ke pintu nak tertutup tu. Alhamdulillah sempat keluar," ujarnya lagi.
Seketika kemudian, dia tersedar apabila jururawat menampar lembut pipinya dan memanggil dirinya berulang kali.
"Saya dengar suara baby dan pipi kena tampar banyak kali. Puan, bangun puan! Baby dah keluar. Saya masa tu menangis teruk tak boleh buka mata.
"Doktor yang panggil tu sampai cakap dekat sebelah, puan ni menangis terharu kot sebab dah selamat bersalin. Padahal kita ni kena pilih nak teruskan hidup atau nak rehat selamanya.
"Saya rasa pilihan untuk rehat tu meninggal sebab mimpi ni berlaku masa saya jalani pembedahan czer. Syukur masih bernafas dapat jaga anak dan suami," jelasnya lagi.
Pelbagai komplikasi berlaku terhadap badan ibu ketika hamil. -Gambar hiasan
Wanita ini turut berkongsi bahawa anak yang dilahirkan ketika itu adalah bayi perempuan yang ditunggu selama 10 tahun, selepas memiliki dua cahaya mata lelaki.
Pengalaman seperti ini mungkin berkaitan dengan fenomena dikenali sebagai 'Anesthesia Awareness' iaitu kesedaran separa atau penuh semasa berada di bawah bius umum.
Memetik ulasan Pakar Bius (Anestesiologis), Dr Andrian Yadikusumo, pesakit masih boleh 'sedar' dan mengingati apa yang berlaku semasa pembedahan walaupun tubuh mereka tidak bergerak.
Keadaan ini boleh berlaku dalam bentuk memori auditori (mendengar suara), mimpi yang sangat nyata atau perasaan seperti tidak mampu bernafas.
Kata Dr Andrian, 'Anesthesia Awareness' boleh memberi kesan psikologi yang serius termasuk trauma atau gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), terutama jika tidak ditangani dengan betul.
Antara faktor risiko termasuk usia (kanak-kanak atau warga emas), sejarah bius sedar sebelumnya, ketagihan alkohol atau dadah serta penggunaan ubat pelali otot semasa pembedahan.
Bagaimanapun, doktor boleh mengambil langkah pencegahan dengan pemantauan rapi, penilaian menyeluruh sebelum bius dan penggunaan ubat sokongan tertentu.
Bagi pesakit yang mengalami situasi ini, penting untuk mendapatkan sokongan psikologi serta pemerhatian berterusan untuk mengelakkan kesan jangka panjang.