DEK keterujaan bermain di atas trampolin, kehidupan kanak-kanak ini berubah selama-lamanya.
Itulah kisah menyayat hati yang dikongsikan seorang ibu, Amelia Zetty mengenai situasi yang berlaku kepada anaknya, dalam satu hantaran di media sosial.
Menurutnya, sambutan hari jadi anak yang sepatutnya menjadi memori indah kini bertukar menjadi detik hitam yang sukar dipadam dalam ingatan.
Permainan yang kelihatan tidak berbahaya bernama katil anjal (trampolin) menjadi tumpuan kanak-kanak yang hadir ke majlis tersebut menjadi punca anak Amelia lumpuh selama-lamanya.
"Sambutan hari jadi, penuh dengan belon, gelak tawa dan muzik. Kanak-kanak berlari ke sana sini, semuanya kelihatan gembira termasuk anak saya sendiri.
"Di tengah-tengah taman permainan, ada satu tarikan utama yang semua budak sukakan, katil anjal (trampolin). Tapi dalam sekelip mata, kegembiraan itu bertukar mimpi ngeri.
"Saya tak akan lupa sampai bila-bila. Anak saya melompat sekali... dan dia tak bangun semula," kata Amelia
Jelasnya, tiada insiden dramatik atau jeritan panik namun selepas satu lompatan, anaknya tidak mampu berdiri lagi.
Ketika pemeriksaan dilakukan, hasil imbasan tulang belakang membuatkan si ibu tergamam dan terkejut terhadap apa yang berlaku kepada anaknya.
Imbasan MRI menunjukkan keadaan tulang anak Amelia.
"Patah tulang belakang. Tulang terhimpit. Saraf tertekan dan semuanya berpunca dari satu permainan yang nampak tak bahaya pun," jelasnya.
Doktor menjelaskan bahawa tulang belakang kanak-kanak yang masih berkembang sangat rapuh dan tidak mampu menyerap hentakan berulang selepas menunjukkan hasil imbasan MRI (magnetic resonance imaging).
Malah, satu lompatan yang tidak kena gaya sudah cukup untuk mencetuskan kecederaan serius.
Anaknya kini menjalani rawatan intensif dan perlu menggunakan alat sokongan selain berbaring tanpa bergerak di mana proses pemulihan juga mengambil masa yang panjang.
Terpanggil untuk berkongsi di media sosial, Amelia berkata perkongsiannya bertujuan memberi peringatan kepada para ibu bapa agar lebih peka terhadap keselamatan anak-anak ketika bermain.
"Jangan benarkan ramai anak melompat serentak. Kalau boleh, elakkan terus. Pilih aktiviti yang lebih selamat untuk anak yang masih kecil.
"Jangan tunggu sampai anda tengok sendiri gambar MRI dengan tulang yang retak. Jangan tunggu sampai anak anda baring tak bergerak dan bertanya kenapa dia tak boleh bangun.
"Kerana bila itu berlaku, semuanya sudah terlambat. Mainan ni nampak macam biasa tapi kesannya boleh jadi luar biasa. Dalam kes anak saya, kami sedang belajar menerima kenyataan kami tak pernah jangka," katanya lagi sambil menambah, ibu bapa perlu segera mendapatkan nasihat perubatan jika anak ada menunjukkan sebarang simptom kecederaan.