suria

[V] Doktor ajar cara betul bantu individu kena sawan, jangan letak objek dalam mulut mangsa

Tangkap layar menunjukkan kejadian seorang lelaki terkena serangan sawan.

RAMAI masih keliru dan panik apabila berdepan situasi cemas melibatkan individu diserang sawan. 

Ada yang menyangka individu tersebut mengalami serangan jantung, ada juga yang terus melakukan bantuan CPR tanpa mengetahui apa sebenarnya kondisi kesihatan mangsa.

Menyedari wujudnya kekeliruan ini, doktor selebriti dan pempengaruh kesihatan, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr Say tampil berkongsi panduan berguna berkaitan sawan yang  boleh membantu menyelamatkan nyawa.

Menerusi satu video [Tonton video] di media sosial, Dr Say memberi penerangan ringkas dan padat mengenai apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan apabila melihat seseorang terkena sawan.

Dia menjelaskan bahawa tindakan yang salah bukan sahaja membahayakan mangsa, malah boleh menyebabkan kecederaan yang lebih teruk.

Dr Say memberikan penjelasan menerusi satu hantaran di media sosial.

Penjelasan ini dibuat susulan satu rakaman tular yang menunjukkan seorang lelaki tumbang secara tiba-tiba akibat diserang sawan.

Dr Say menjelaskan, serangan sawan mempunyai tanda berbeza berbanding pengsan atau serangan jantung.

Sawan

1. Badan terketar-ketar kuat

2. Tangan dan kaki kejang

3. Mata mungkin terbeliak atau terpandang ke atas

4. Mulut berbuih atau kancing gigi

5. Berlaku secara tiba-tiba

Pengsan

1. Badan jadi lembik dan tidak bergerak

2. Tiada kejang atau pergerakan luar biasa

Serangan jantung

1. Badan lembik

2. Nadi lemah atau langsung tiada denyutan nadi

3. CPR boleh dilakukan jika tiada denyutan

Dr Say turut berkongsi langkah-langkah penting yang perlu dilakukan jika anda melihat seseorang mengalami sawan:

1. Bertenang dan jangan panik

2. Jika sawan lebih 5 minit, hubungi 999 segera

3. Jauhkan mangsa dari objek tajam atau bahaya

4. Pusingkan badan mangsa ke sisi untuk elak tersedak

5. Biarkan sawan berlaku, jangan cuba hentikan keadaan kejang

Terdapat beberapa perkara perlu dielakkan ketika membantu mangsa sawan, antaranya: 

1. Jangan masukkan sebarang objek ke dalam mulut termasuk batang aiskrim, sudu, pen atau jari

2. Jangan pegang atau tahan tangan dan kaki mangsa, boleh menyebabkan tulangnya patah

3. Jangan beri makanan atau air, risiko tersedak atau masuk ke paru-paru

Artikel Lain