suria

Budak 11 tahun tak sedar ada 81 batang gigi! Pakar anggap kes mencabar, rawatan makan masa beberapa tahun

Imbasan X-ray menunjukkan keadaan gigi kanak-kanak tersebut.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mengejutkan dunia perubatan apabila didapati mempunyai 81 batang gigi.

Kes itu yang diterbitkan dalam American Journal of Orthodontics and Dentofacial Orthopedics melaporkan bahawa dia memiliki 18 gigi susu, 32 gigi kekal dan 31 gigi berlebihan (supernumerary teeth).

81 batang gigi untuk seorang manusia merupakan jumlah yang jauh melampaui bilangan biasa gigi manusia dewasa iaitu 32 batang.

Kanak-kanak berasal dari Brazil itu pada awalnya hanya datang ke hospital pergigian di Federal University of Juiz de Fora bagi mencabut sebatang gigi susu. 

Namun, hasil X-ray menunjukkan keadaan luar biasa ini dan dia disahkan menghidap 'hiperdontia', satu kelainan perkembangan yang jarang-jarang berlaku.

Lebih mengejutkan, imbasan CBCT (cone-beam computed tomography) menunjukkan gigi-gigi berlebihan itu bertaburan di sepanjang lengkung gusi.

Malah, ada yang tertanam dalam gusi dan berbentuk pelik menyukarkan pengenal pastian secara klinikal.

Tumbesaran setiap kanak-kanak berbeza mengikut genetik. -Gambar hiasan AI

Kebiasaannya, hiperdontia hanya melibatkan satu atau dua gigi lebihan. 

Dalam kes luar biasa ini, kewujudan 31 gigi lebihan tanpa sebarang sindrom berkaitan seperti 'cleidocranial dysplasia', 'Gardner’s syndrome' atau sumbing lelangit menandakan ia adalah kes 'nonsyndromic hyperdontia'.

Keputusan selepas pemeriksaan genetik menunjukkan terdapat inversi kromosom 9, namun pakar menjelaskan tiada bukti kukuh ia menjadi punca langsung kepada keadaan ini.

Pasukan perubatan memaklumkan gigi berlebihan boleh menyebabkan 'kesesakan', pertumbuhan gigi kekal terganggu, masalah gigitan (maloklusi) dan berisiko membentuk sista.

Disebabkan jumlah gigi yang terlalu banyak dan kedudukannya yang kompleks, rawatan kes ini dianggap mencabar. 

Pasukan dengan gabungan pelbagai kepakaran ditubuhkan melibatkan pakar ortodontik, pembedahan mulut, periodontik dan prostodontik. 

Rawatan dijangka mengambil masa beberapa tahun, termasuk pembedahan berperingkat dan rawatan pendakap gigi.

Pakar turut menekankan pentingnya pemeriksaan gigi secara berkala untuk mengesan sebarang kelainan sejak awal. -United Daily

Artikel Lain