suria

Pesakit runsing ‘senjata’ cuma berfungsi bila onani, isteri bengang terus minta cerai! Doktor perjelas puncanya

Pasangan suami isteri tidak akan terlepas daripada berdepan masalah dalam rumah tangga. -Gambar hiasan AI (kiri)

DOKTOR Kesihatan Lelaki, Dr Ahmad Samhan Awang atau Dr Samhan berkongsi pengalamannya merawat seorang pesakit berusia 25 tahun.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau menceritakan kisah pesakit yang mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah mati pucuk akibat ketagihan onani.

Katanya, pesakit yang datang berjumpa dengannya itu kelihatan sihat luaran tetapi duduk dengan penuh rasa malu akibat masalah alat kelamin.

Setelah disoal barulah terbongkar tabiat dirinya apabila dia sendiri membuat pengakuan ketagih onani sejak zaman sekolah.

"Doktor,  saya rasa saya dah mati pucuk. Saya ketagih onani sejak sekolah. Sekarang saya langsung tak rasa apa-apa bila bersama isteri," ujar lelaki itu kepada Dr Samhan.

Akibat tabiat tersebut yang berlarutan selama bertahun-tahun, pesakit mengakui alat sulitnya tidak mampu berfungsi ketika bersama isteri, namun masih boleh mencapai klimaks jika melakukan onani.

Dr Samhan banyak berkongsi mengenai masalah kesihatan lelaki di TikTok.

Masalah itu menyebabkan hubungan mereka semakin tegang hingga akhirnya isteri meminta cerai selepas suaminya 'kantoi' melakukan onani dalam gelap.

"Kalau saya tak cukup untuk awak, kita cerai sajalah," kata isteri kepada pesakit itu, menurut perkongsian Dr Samhan.

Kata Dr Samhan, masalah utama yang dihadapi pesakit ini ialah, otak dan sistem saraf seksual tidak lagi memberi tindak balas terhadap rangsangan biasa.

Malah, apa yang berlaku kepada kemaluan lelaki ini boleh menjadi permulaan kepada mati pucuk kekal.

Dr Samhan menjelaskan bahawa masalah ini masih boleh dirawat, tetapi memerlukan komitmen dan rawatan awal.

Malah, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan isu ketagihan onani atau melancap keterlaluan.

Beliau turut menggesa mereka yang sedang 'bergelut' dengan tabiat ini agar tidak berdiam diri.

Sebaliknya, segera dapatkan bantuan perubatan profesional, sebelum menyesal di kemudian hari.

Dr Samhan yang sering berkongsi mengenai kesihatan terutama melibatkan golongan lelaki memiliki lebih 1.7 juta pengikut di TikTok.

Artikel Lain