suria

Ambil iktibar insiden lelaki maut dalam mesin MRI... Bukan rantai je, banyak lagi objek lain perlu elak pakai

Keith (kanan) maut selepas ditarik ke dalam mesin MRI.

INSIDEN meragut nyawa membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun yang berlaku di sebuah pusat imbasan MRI di Long Island, New York pada 16 Julai lalu mendapat perhatian ramai.

Hakikatnya, kes seumpama ini bukan kali pertama berlaku.

MRI atau Magnetic Resonance Imaging merupakan teknologi imbasan perubatan yang menggunakan medan magnet ultra kuat untuk menghasilkan imej dalaman badan.

Disebabkan kekuatan tarikan magnetnya, sebarang objek logam wajib dikeluarkan sebelum masuk ke bilik MRI.

Antara objek yang tidak dibenarkan menurut Public Health Malaysia termasuk:

1. Rantai, jam tangan, telefon bimbit atau klip rambut.

2. Pakaian dengan zip atau butang logam.

3. Peralatan dalam badan seperti pacemaker atau klip pembedahan.

Dalam pada itu, turut diingatkan bahawa masuk ke bilik MRI tanpa kebenaran atau kelulusan petugas boleh membawa risiko maut.

Untuk rekod, kejadian tragik di New York itu membabitkan mangsa bernama Keith McAllister.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita jadi saksi suami maut ‘direntap’ masuk mesin MRI, rantai leher 9kg jadi punca

Mangsa hadir menemani isterinya, Adrienne yang sedang menjalani imbasan lutut.

Ketika sesi hampir tamat, Adrienne memanggil Keith masuk ke bilik tersebut untuk membantunya bangun. 

Tanpa menyedari bahaya, Keith melangkah masuk sambil memakai rantai logam seberat 9 kilogram.

Dalam sekelip mata, rantai berkenaan tertarik ke arah mesin MRI akibat daya tarikan magnet yang luar biasa kuat. 

Keith tersepit dalam keadaan mengerikan.

Mangsa dilaporkan terperangkap hampir sejam sebelum rantai berjaya dialihkan. 

Dalam tempoh itu, Keith mengalami beberapa serangan jantung sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di hospital.

Pada tahun 2001, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas tangki oksigen melayang dan menghentam kepalanya kerana tertarik ke arah mesin MRI.

Untuk makluman, prosedur keselamatan yang ditetapkan bukan sekadar formaliti. 

Mesin MRI bukan alat perubatan biasa kerana ia mampu menjadi ancaman jika aspek keselamatan diabaikan.

Artikel Lain