suria

Rakyat Malaysia memang prihatin! Sepakat kumpul dana RM50,000 demi pembedahan jantung remaja 15 tahun

Chiet berjaya membuat pembedahan jantung hasil sumbangan rakyat.

RAKYAT Malaysia sekali lagi membuktikan semangat keprihatinan yang tinggi apabila berjaya mengumpul lebih RM50,000 menerusi Program Dana Perubatan Star Foundation bagi membantu Chiet A/L Ailai dari Sik, Kedah, yang memerlukan pembedahan jantung segera.

Remaja berusia 15 tahun itu sebelum ini disahkan menghidap supravalvular neo-aortic stenosis teruk, mengakibatkan penyempitan pada aorta di atas injap jantung dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Dia kemudiannya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan perlu menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawa.

Prosedur itu menelan belanja RM80,000, dengan sebanyak RM30,000 disalurkan oleh pertubuhan bukan keuntungan (NPO), One Hope Charity & Welfare. 

Baki RM50,000 lagi yang diperlukan berjaya dikumpul, malah kutipan tersebut melepasi sasaran berkat sokongan dan sikap pemurah orang ramai.

Sebelum ini, mStar melaporkan, Chiet didiagnosis dengan kecacatan jantung kongenital yang jarang berlaku, dikenali sebagai Transposition of the Great Arteries (TGA) semasa bayi.

Star Foundation menutup kempen kutipan derma dan menzahirkan penghargaan buat semua yang membantu.

Pelajar SMK Lubok Merbau itu menyimpan cita-cita bergelar jurutera mekanikal demi mengubah nasib keluarga yang hidup serba sederhana. 

Star Foundation kini menutup kempen kutipan derma untuk Chiet dan menzahirkan penghargaan buat semua penderma yang menjayakan usaha ini.

Lebihan sumbangan akan digunakan untuk membantu pesakit lain yang layak di bawah program ini.

Bagi penderma yang ingin mendapatkan resit pengecualian cukai, anda digalakkan untuk melengkapkan Borang Sumbangan Dana Perubatan di laman web rasmi Star Foundation.

Star Foundation ialah cabang kebajikan bagi Kumpulan Media Star. 

Sejak 2016, yayasan ini telah membantu golongan kurang berkemampuan dengan membiayai rawatan dan penjagaan perubatan yang kritikal.

Untuk maklumat lanjut atau membuat sumbangan, layari starfoundation.com.my atau emel ke starfoundation@thestar.com.my.

Artikel Lain