RAMAI yang suka makan jeruk kerana rasanya masam manis dan menyelerakan.
Tapi tidak ramai yang tahu ia sebenarnya boleh beri kesan buruk kepada kesihatan jika dimakan terlalu kerap.
Jeruk bukanlah pengganti buah sebenar kerana proses pengawetan menyebabkan kebanyakan nutrien dalam buah hilang.
Malah pembuatan jeruk ini penuh dengan kandungan gula, garam dan bahan kimia tambahan.
Jika diambil berlebihan, ia boleh melebihi tiga hingga lima kali ganda keperluan harian seseorang yang meningkatkan risiko penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.
Menurut kajian oleh International Agency for Research on Cancer (IARC), pengambilan makanan diawet seperti jeruk secara berlebihan boleh meningkatkan risiko kanser perut dan esofagus.
Ini kerana ia mengandungi bahan pengawet dan nitrit yang boleh membahayakan kesihatan.
Selain itu, jeruk komersial juga mengandungi pewarna tiruan serta bahan pengawet seperti sulfur dioksida dan natrium benzoat.
Bahan ini boleh menyebabkan alahan, gangguan sistem pencernaan dan kesan kesihatan jangka panjang.
Dalam hantaran di Facebook, Public Health Malaysia berkongsi mengenai nasihat kesihatan mengenai pengambilan jeruk.
1. Jeruk boleh dimakan, tetapi hanya sekali-sekala.
2. Elakkan beri kepada kanak-kanak kecil, wanita hamil atau mereka yang ada tekanan darah tinggi.
3. Makan buah segar sebagai pilihan utama, bukan jeruk yang telah kehilangan nutrien (khasiat asal).