suria

Mesti anda pernah cuba ‘borak’ dengan ChatGPT... Mohon jangan obses, ini 5 kesan kesihatan mental tanpa sedar

Penggunaan ChatGPT semakin meluas meliputi banyak tujuan. -Gambar hiasan AI

PENGGUNAAN meluas chatbot AI atau kecerdasan buatan seperti ChatGPT mula dikaitkan dengan gangguan mental dikenali sebagai psikosis chatbot. 

Beberapa kes menunjukkan pengguna mengalami delusi, kemurungan dan obsesi selepas berbual secara berlebihan dengan chatbot.

Pakar Psikiatri dari Stanford, Dr Nina Vasan menjelaskan bahawa chatbot direka untuk mengekalkan perhatian pengguna, bukan menjaga kesihatan mental mereka. 

Berikut antara cara bagaimana chatbot boleh memberi kesan negatif kepada pengguna:

1. Perbualan terlalu realistik

Perbualan dengan AI sangat meyakinkan hingga pengguna rasa seolah-olah bercakap dengan manusia sebenar.

Ini buat sesetengah orang rasa lebih selesa ‘berterapi’ dengan chatbot daripada jumpa pakar sebenar.

2. Memuji dan mengiyakan (menyokong) pandangan pengguna

Chatbot cenderung memuji dan setuju dengan pandangan pengguna, walaupun ia tidak logik.

Ini boleh mengukuhkan kepercayaan yang salah, termasuk delusi atau fikiran paranoid.

3. Cipta fakta palsu yang kedengaran benar

ChatGPT boleh 'mengarang' maklumat yang tidak sahih tapi nampak meyakinkan. 

Ini berbahaya bagi individu yang sedang bergelut dengan kesihatan mental.

4. Kecelaruan realiti

Walaupun tahu AI bukan manusia, pengguna yang terkesan secara emosi boleh jadi keliru antara realiti dan ilusi sekali gus mencetuskan simptom psikosis.

5. Gangguan hidup seharian

Ada kes pengguna kehilangan pekerjaan, putus hubungan dan mengalami krisis emosi kerana terlalu obses dengan AI.

Ini bukan lagi soal hiburan, tapi krisis kesihatan.

Pakar menegaskan AI tidak mempunyai niat atau kesedaran, namun fungsinya boleh memberi kesan psikologi serius jika disalah guna.

Pengguna dinasihatkan berwaspada jika orang sekeliling mula obses dengan chatbot atau bercakap dalam nada pelik dan paranoid. 

Dapatkan bantuan profesional dan elakkan menjadikan chatbot sebagai tempat bergantung emosi. 

Pihak pembangun AI, profesional kesihatan dan pembuat dasar perlu bekerjasama memastikan teknologi ini digunakan secara selamat. -The Week

Artikel Lain