suria

Jerebu datang lagi… Ambil tahu cara untuk terus bernafas dengan selesa, kurangkan risiko penyakit

Suasana di Tasik Titiwangsa dalam keadaan berjerubu. -Foto AZMAN GHANI/The Star

JEREBU kembali melanda negara, sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan awam.

Fenomena jerebu memberi kesan besar kepada kesihatan, terutama bagi kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mengalami masalah pernafasan seperti asma.

Menurut Perunding Perubatan Dalaman dan Perubatan Respiratori di Hospital Pakar Ampang Puteri (KPJ Ampang Puteri) Dr Nurashikin Mohammad, bahaya utama ketika jerebu datang daripada zarah halus dikenali sebagai PM2.5.

Zarah-zarah ini sangat kecil dan mampu menembusi sistem pertahanan tubuh, masuk jauh ke dalam paru-paru dan terus ke saluran darah.

Pendedahan kepada jerebu dalam tempoh berpanjangan boleh memburukkan masalah pernafasan, meningkatkan risiko jangkitan dan mencetuskan serangan jantung atau strok.

Dr Nurashikin.

Bagi membantu orang ramai lebih bersedia ketika musim jerebu, Dr Nurashikin berkongsi lima panduan penting untuk melindungi diri dan keluarga.

1. Semak Indeks Pencemaran Udara (IPU)

Elak aktiviti luar jika IPU melebihi 100.

Kumpulan berisiko digesa duduk di dalam rumah jika IPU melepasi 150.

2. Pakai topeng muka N95

Topeng kain atau pembedahan tidak mampu tapis zarah halus. 

Hanya topeng N95 yang berkesan untuk lindungi daripada PM2.5.

3. Pastikan udara dalam rumah bersih

Tutup tingkap dan pintu ketika jerebu tebal. 

Guna penapis udara jenis HEPA (Udara Partikulat Kecekapan Tinggi) dan letakkan tuala basah di celah pintu atau tingkap untuk kurangkan habuk halus.

4. Minum air secukupnya dan rehat yang cukup

Air membantu untuk nyahkan toksin dari dalam badan.

Tidur yang cukup pula penting untuk kuatkan sistem imun.

5. Elak bersenam di luar

Senaman di luar rumah ketika jerebu dedahkan paru-paru kepada pencemaran yang lebih baik.

Tukar rutin ke dalam rumah atau tempat tertutup yang ada penapis udara.

Selain itu, Dr Nurashikin turut berkongsi empat tip tambahan yang boleh dilakukan semua sebagai langkah pencegahan semasa musim jerebu.

1. Guna mod kitaran semula udara dalam kenderaan dan tutup tingkap ketika memandu.

2. Mandi sebaik tiba di rumah untuk bersihkan zarah halus dari kulit dan rambut.

3. Amalkan pemakanan sihat, rehat cukup dan ambil vitamin C untuk kuatkan imunisasi badan.

4. Dapatkan rawatan segera jika alami sesak nafas, batuk berterusan atau dada terasa ketat.

Jika anda atau ahli keluarga alami masalah pernafasan sepanjang musim jerebu ini, jangan tunggu dan berjumpalah dengan pakar perubatan secepat mungkin.

Artikel Lain