suria

Tabiat suka telan biji kurma bawa padah, warga emas hampir maut gara-gara usus koyak

Wanita itu mengakui serik dan tidak akan mengulangi kesilapan sama. -Foto Haberler

SEORANG wanita warga emas berusia 92 tahun hampir kehilangan nyawa selepas biji buah kurma dan zaitun yang ditelannya terkumpul dalam usus sehingga menyebabkan saluran itu terkoyak.

Serife Ay yang berasal dari Zonguldak, Turkiye dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut dan muntah-muntah.

Hasil imbasan mendedahkan terdapat 28 biji kurma, 35 biji zaitun dan lima ketulan keras sebesar penumbuk dalam sistem penghadamannya.

Menurut pakar bedah, Dr İlhan Taşdöven, ketulan itu terbentuk akibat pengumpulan biji sejak sekian lama.

Salah satu daripada ketulan tersebut berukuran 4 sentimeter (cm) telah menyekat usus kecil hingga menyebabkan tisu mereput.

Pembedahan kecemasan selama dua jam terpaksa dilakukan untuk membuang bahagian usus yang rosak dan mengeluarkan semua objek asing tersebut.

Pesakit kemudian ditempatkan di unit rawatan rapi selama lima hari.

Wanita itu mengakui dia sememangnya gemar menelan biji kurma dan zaitun kerana menganggap tiada kesan sampingan.

Namun selepas insiden itu, dia berjanji untuk tidak akan mengulanginya lagi.

Doktor memberi amaran serta peringatan bahawa biji atau objek keras yang tertelan boleh 'bersembunyi' dalam perut selama bertahun-tahun tanpa gejala.

Tetapi apabila objek itu mula menghalang sistem penghadaman, ia boleh menyebabkan muntah, ulser, pendarahan atau keracunan darah.

Kes sebegini jarang berlaku, tetapi tetap berisiko tinggi. 

Sesetengah pakar menggunakan soda seperti Coca-Cola untuk melarutkan ketulan, tetapi rawatan itu hanya berjaya dalam 23 hingga 60 peratus kes sahaja.

Pakar perubatan menasihatkan orang ramai, terutama warga emas agar tidak menelan biji buah walau sekecil mana sekalipun.

Ini kerana biji buah bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat malah boleh meragut nyawa. -Agensi

Artikel Lain