VIDEO aksi berani (stunt) individu berjalan di atas bangunan tinggi sering membuat ramai kecut perut dan terasa gayat, walaupun sekadar menonton melalui skrin.
Menurut kajian psikologi perkembangan, terdapat penjelasan secara saintifik mengenai reaksi semula jadi berkaitan rasa takut pada ketinggian.
Kajian itu menyatakan, manusia hanya dilahirkan dengan dua ketakutan semula jadi iaitu takut kepada ketinggian dan bunyi kuat.
Selebihnya seperti takut gelap, serangga atau berada di tempat sesak, adalah ketakutan yang dibentuk melalui pengalaman dan persekitaran.
Kajian 'visual cliff' mendapati bayi seawal enam bulan pun enggan merangkak di atas permukaan lutsinar yang kelihatan seperti tebing.
Ini membuktikan otak manusia memang secara semula jadi peka terhadap risiko jatuh, tanpa perlu sebarang pengalaman buruk.
Selain itu juga, terdapat satu lagi ketakutan semula jadi manusia iaitu takut terhadap bunyi kuat.
Sesetengah manusia takut terhadap haiwan seperti kucing. -Gambar hiasan AI
Bayi yang mendengar bunyi mendadak akan terkejut secara automatik dikenali sebagai 'Moro reflex'.
Ini membantu mereka peka terhadap bunyi ancaman seperti petir atau bunyi kuat dalam alam semula jadi.
Ketakutan lain seperti fobia kepada haiwan, tempat sempit atau berucap di khalayak selalunya datang daripada pengalaman buruk, pengaruh orang sekeliling atau paparan media.
Otak kita menyimpan memori selepas berdepan pengalaman ini dan mudah mencetuskan reaksi takut apabila dihadapkan dengan situasi serupa.
Bahagian otak yang dikenali sebagai 'amygdala' memainkan peranan penting dalam mengaktifkan tindak balas ketakutan.
Kadangkala, ia bertindak balas walaupun bahaya itu hanya bersifat persepsi dan bukan ancaman sebenar.
Bagaimanapun, ketakutan yang dipelajari ini boleh diatasi.
Terapi seperti Cognitive Behavioral Therapy (CBT) terbukti berkesan membantu individu mengenal pasti, memahami dan mengawal reaksi takut yang berlebihan.
Jadi, rasa gayat tengok video ekstrem di media sosial bukan sekadar perasaan semata-mata tetapi ia tindak balas semula jadi manusia terhadap bahaya yang diprogram dalam diri sejak lahir. -SEASIA