suria

Dah boleh tinggalkan amalan sapu bedak di bahagian sulit bayi... Memang wangi, tapi bahaya menanti!

Ramai golongan ibu menggunakan bedak di bahagian sulit bayi. -Gambar hiasan AI

PENGGUNAAN bedak talkum pada kemaluan bayi suatu ketika dahulu dianggap amalan biasa bagi mengelakkan ruam selain mahu mewangikan bahagian tersebut.

Malah bagi sesetengah ibu, amalan menyapu bedak di punggung, lipatan paha dan kawasan sulit bayi juga dianggap sebagai tanda kasih sayang.

Namun, perkembangan ilmu perubatan kini membongkar risiko terutama untuk bayi perempuan yang selama ini tidak diketahui ramai.

Talkum merupakan mineral semula jadi yang terdiri daripada magnesium, silikon dan oksigen. 

Dalam bentuk serbuk, ia menyerap kelembapan dan membantu mengurangkan geseran menjadikan bahan ini sering digunakan dalam bedak bayi dan pelbagai produk kosmetik.

Masalah timbul apabila talkum semula jadi berpotensi tercemar dengan asbestos iaitu bahan yang disahkan sebagai penyebab kanser.

Apabila disapu di kawasan kemaluan, partikel halus talkum boleh memasuki faraj dan seterusnya sampai ke ovari. 

Situasi ini boleh mencetuskan keradangan kronik dan beberapa kajian mendapati ini mungkin mendorong kepada pertumbuhan sel kanser ovari.

Penggunaan bedak talkum boleh mengundang bahaya. -Gambar hiasan AI

Bagaimanapun, dapatan kajian mengenai isu ini masih bercampur aduk kerana beberapa kajian retrospektif menunjukkan peningkatan risiko antara 20 hingga 30 peratus. 

Tetapi kajian prospektif yang mempunyai kaedah lebih kuat tidak dapat mengesahkan kaitan secara konsisten.

Berdasarkan penilaian International Agency for Research on Cancer (IARC), penggunaan talkum di kawasan kemaluan mungkin menyebabkan kanser kepada manusia (Kumpulan 2B) atau possibly carcinogenic to humans.

Bagaimanapun, amalan zaman dahulu itu tidak semestinya salah kerana ia berdasarkan pengetahuan pada masa itu.

Namun hari ini, kita lebih peka dan mampu membuat pilihan yang lebih selamat memandangkan dunia semakin maju.

Menurut Public Health Malaysia, terdapat tiga langkah yang boleh dilakukan:

1. Elakkan penggunaan bedak talkum di kawasan kemaluan, terutamanya untuk bayi dan wanita.

2. Pilih alternatif yang lebih selamat tanpa kandungan talkum.

3. Ikuti perkembangan terkini saranan kesihatan awam dan panduan pakar.

Maklumat ini penting untuk dikongsikan, terutamanya kepada ibu muda, pengasuh atau sesiapa sahaja yang masih menggunakan bedak talkum tanpa mengetahui risiko sebenar dan bahaya bedak talkum

Artikel Lain