MEMASTIKAN anak makan makanan berkhasiat bukanlah mudah, apatah lagi jika si anak jenis 'picky eater' atau terlalu cerewet.
Seorang ibu, Nur Hamizah Bakhtiar menarik perhatian ramai menerusi satu perkongsian video [Tonton sini] di TikTok, memaparkan dia menapis makanan untuk anaknya.
Dalam video tersebut, dia dilihat menggunakan penapis untuk mengasingkan bawang, daun sup, lobak merah dan bahan-bahan lain demi memastikan anak-anaknya makan tanpa merungut.
"Anak tak nak bawang sanggup buang satu satu menggunakan tapis. Sup ini untuk anak-anak je makan, jadi saya tapis siap-siap.
"Kadang-kadang kalau mak ayah juga makan saya tapis je sup semangkuk untuk anak makan," katanya dalam satu video yang tular di TikTok.
Namun, perkongsian itu turut mengundang perhatian seorang ibu lain, Aida, yang tampil berkongsi cara berbeza menangani masalah anak bongsunya yang cerewet bab makan.
Latih anak supaya makan sayur sejak kecil. -Gambar hiasan AI
Menurut Aida, dia mula melatih anaknya berusia lima tahun dengan menasihati secara ringkas tapi berkesan setiap kali mahu menyuap makanan.
"Saya terus ambil langkah awal sebab tak nak selera dia yang cerewet itu makin berlarutan sampai besar, jadi saya suap juga.
"Caranya tiap kali masa saya nak suap makan, bila dia nampak ada bawang dengan sayur saya cakap adik... tak baik tolak rezeki Allah bagi.
"Awal-awal memang berat je dia nak makan tapi berulang kali buat benda sama sehingga kita nampak dia berubah," ujarnya.
Tambah Aida, didikan guru juga banyak membantu membentuk sikap positif terhadap makanan selepas anaknya masuk ke prasekolah.
"Cikgu cakap semua makanan kena habis, sayur pun kena makan. Bila dekat rumah kalau dia nampak saya tak makan sayur dia pula cakap ibu tak baik tak makan habis sayur tu, itu rezeki Allah bagi," kata Aida.
Perkongsian ini menunjukkan bahawa konsistensi, nasihat yang lembut dan sedikit didikan rohani mampu membentuk tabiat makan yang sihat sejak kecil.