KETIKA ini negara sedang berdepan dengan musim influenza, dengan kes yang dilaporkan meningkat saban hari.
Jika sebelum ini jangkitan selesema ini lebih sinonim dengan golongan kanak-kanak, kini semakin ramai golongan dewasa turut menjadi 'mangsa'.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah memberi kesan kepada produktiviti harian.
Tahukah anda, sebenarnya terdapat empat jenis virus influenza telah dikesan iaitu influenza A, B, C, dan D.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 6 simptom influenza... Segera bawa anak jumpa doktor, jangan sampai berlaku komplikasi
Namun, influenza A dan B adalah dua jenis influenza bermusim yang sering menyebabkan jangkitan wabak hampir setiap tahun.
Menurut seorang pegawai perubatan dikenali sebagai Dr Zul, di antara kedua-dua jenis influenza ini, salah satu daripadanya dikatakan paling 'berbisa' sehingga mampu membuatkan penghidapnya 'tumbang' akibat mengalami gejala yang teruk.
"Antara influenza A dan B, hanya satu daripadanya yang boleh disebarkan melalui manusia dan binatang. Yang lagi satu, ia hanya boleh merebak melalui manusia sahaja.
"Yang boleh merebak menerusi binatang tu adalah versi influenza yang lagi sakit, 'barai', 'rabak', 'kopak' semua tu. Ia juga senang bermutasi dengan cepat dan banyak strain (varian).
"Yang lagi satu, ia ada dua sahaja strain utama iaitu Yamagata dan Victoria.
"Jadi yang mana satu yang lebih teruk ni? Tak lain dan tak bukan adalah influenza A. Jadi anda faham apabila pesakit kena influenza A, memang sakit," hurainya dalam perkongsian video di TikTok.

Amalan kebersihan dan pemakaian pelitup muka dapat mengurangkan risiko dijangkiti influenza. -Gambar hiasan
Berikut adalah antara simptom influenza A:
- Demam tinggi melebihi 38˚C
- Letih dan lesu yang berlarutan hingga melebihi seminggu
- Sakit otot dan sakit sendi
- Batuk
- Selesema
- Sakit tekak
- Sakit kepala
Walaupun situasi keseluruhan terkawal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga seperti:
- Memantau gejala, mengasingkan kes berjangkit, dan segera mendapatkan rawatan jika gejala berpanjangan atau menjadi lebih teruk.
- Menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi individu yang bergejala atau berisiko tinggi.
- Menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
- Menggalakkan golongan berisiko tinggi (kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, pesakit kronik) untuk mendapatkan vaksin influenza tahunan.


