suria

Pucuk manis memang sedap, tapi jangan sesekali makan mentah! Hentikan diet ‘smoothies’ atau campuran dalam salad

Pucuk manis merupakan antara sayuran popular di kampung. -Gambar hiasan

JIKA membesar di kampung, besar kemungkinan anda pernah makan sayur manis atau nama lainnya mani cai dan cekur manis. 

Sayur hijau ini sememangnya popular dalam masakan orang dulu-dulu.

Selalunya ditumis dengan telur, dibuat masak lemak putih atau menjadi salah satu bahan dalam hidangan mi bandung dan mi sup.

Tapi pernahkah anda mendengar dakwaan kononnya makan sayur manis mentah boleh merosakkan paru-paru?

Kedengaran seperti karut namun sayangnya, ia bukan mitos.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), sayur ini sememangnya selamat dimakan tetapi hanya jika dimasak.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghidap endometriosis hamil selepas ikhtiar minum jus ‘cuci rahim’, tak lokek kongsi resipi bantu wanita TTC

Sekiranya anda gemar mencampurkannya ke dalam salad atau membancuhnya sebagai smoothie hijau atas tujuan kesihatan, adalah lebih baik untuk mempertimbangkan semula pilihan tersebut.

Ini kerana menurut SFA, pengambilan mani cai mentah boleh menyebabkan satu penyakit paru-paru yang kekal dan berbahaya dikenali sebagai bronchiolitis obliterans.

Dalam bahasa mudah, ia adalah keadaan di mana saluran udara kecil dalam paru-paru (bronkiol) tersumbat oleh tisu parut yang meradang.

Kesannya, penghidap akan mengalami sesak nafas kronik malah boleh menjadi semakin teruk dan berakhir dengan kematian.

Menurut SFA lagi, perkara ini bukan andaian semata-mata.

Ia disahkan secara saintifik, terutama dalam kes yang berlaku di Taiwan dan Jepun sekitar tahun 1990-an hingga 2000-an.

Dalam tempoh tu, ramai wanita muda dilaporkan mengalami bronchiolitis obliterans, dengan ada kes serius sehingga memerlukan pemindahan paru-paru.

Rupa-rupanya, kesemua pesakit mempunyai satu persamaan iaitu mengambil mani cai mentah dalam kuantiti besar.

Ada yang mengambil untuk tujuan diet, ada juga yang percaya ia membantu membanyakkan susu badan selepas bersalin.

Buat masa ini, saintis masih mengkaji punca sebenar mengapa sayur ini berbahaya jika dimakan mentah namun teori semasa menunjukkan ia mengandungi bahan kimia tertentu yang boleh mencetuskan radang dalam paru-paru dan akhirnya merosakkan tisu.

Menurut SFA lagi, bagaimanapun mani cai tetap selamat dimakan jika dimasak dengan sempurna.

Artikel Lain