KES seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang mengelar leher adiknya selepas didakwa terpengaruh dengan permainan dalam talian mengundang kebimbangan masyarakat terutama ibu bapa.
Ketika ramai yang menyangka Roblox 'selamat', seorang guru pendidikan awal kanak-kanak tampil berkongsi pandangannya mengenai bahaya yang didakwa tersembunyi di sebalik permainan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa kena ‘jenguk’ telefon anak, risau terdedah permainan ganas tanpa sedar… Ini 5 ‘games’ patut dielakkan
"Roblox ialah permainan yang dicipta untuk menguasai minda dan perhatian kanak-kanak.
"Ramai ingat Roblox ni games comel dengan karakter kotak, warna-warni, nampak selamat. Tapi sebenarnya, itulah perangkap paling bahaya.
"Dalam Roblox, semua orang boleh cipta dunia sendiri. Ada dunia membina rumah, tapi ada juga dunia bunuh, culik dan misi ganas.
"Anak-anak ni masuk, ikut arahan, tanpa faham maksudnya. Dan bila mereka terlalu lama di dalam dunia tu, otak mula hilang beza antara realiti dan fantasi," kongsinya di laman Threads.
Ibu bapa perlu bersikap tegas dengan menghadkan penggunaan gajet untuk anak-anak. -Gambar hiasan AI
Tambahnya lagi, justeru kanak-kanak akan terkeliru dan tanpa sedar mengikuti arahan di dalam permainan untuk diaplikasikan dalam dunia realiti, hingga mencetuskan perkara tidak sepatutnya.
"Dalam game, kalau marah, bererti bunuh. Kalau kalah, bererti restart. Kalau mati, bererti hidup balik. Masalahnya, dalam dunia sebenar, tak ada butang restart," tambahnya.
Guru itu turut menegaskan bahawa kes yang terjadi baru-baru ini tidak seharusnya dianggap 'kes terpencil'.
Ujarnya, ia sebenarnya isyarat kepada masyarakat tentang betapa bahayanya dunia maya yang kini menjadi 'penjaga' utama anak-anak kecil.
"Anak-anak dari bayi hingga enam tahun sedang melalui fasa paling penting, perkembangan kognitif dan sosial. Kalau sejak kecil mereka didedahkan dengan 'games' sebegini, perkembangan itu boleh terbantut.
"Kita bukan nak salahkan teknologi. Tapi bila teknologi mengganti manusia, anak mula hilang perasaan manusia.
"Ibu ayah, biarlah anak menangis sebab tak dapat gajet. Jangan kita yang menangis sebab kehilangan anak," akhirinya.


