RAMAI antara kita gemar menikmati makanan panas yang masih berasap dalam pinggan, lebih-lebih lagi ketika cuaca sejuk atau sedang lapar.
Namun tanpa disedari, tabiat menikmati makanan atau minuman yang terlalu panas sebenarnya boleh membawa risiko kesihatan yang serius untuk jangka panjang.
Dalam satu temu bual bersama HT Lifestyle, seorang pakar bedah, Dr Yash Mathur menjelaskan bahawa amalan yang kelihatan remeh ini sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada tubuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Penghidap endometriosis hamil selepas ikhtiar minum jus ‘cuci rahim’, tak lokek kongsi resipi bantu wanita TTC
"Dalam jangka masa panjang, aktiviti kebiasaan yang sering dianggap tidak berbahaya boleh menyumbang secara halus kepada penyakit yang teruk.
"Salah satunya ialah pengambilan makanan dan minuman yang terlalu panas secara berkala," katanya.
Berikut adalah beberapa kesan akibat kerap mengambil makanan atau minuman yang panas sebagaimana perkongsian beliau:
1. Trauma haba
Makanan atau minuman yang melebihi 65 darjah Celsius boleh menyebabkan luka terbakar kecil pada lapisan mulut, tekak dan esofagus (saluran makanan). Walaupun ia tidak kelihatan serius pada masa itu, kerosakan berulang boleh menyebabkan kesan jangka panjang kepada tisu dalaman.
2. Luka bakar cetus keradangan kronik
Kecederaan mikro yang berulang tidak sempat sembuh sepenuhnya sebelum pendedahan berikutnya boleh menyebabkan keradangan berpanjangan, dan dalam kes tertentu, boleh mencetuskan kanser.
3. Perokok dan peminum alkohol berisiko tinggi
Apabila lapisan dalam mulut atau tekak sudah terjejas akibat haba, ia menjadi lebih mudah terdedah kepada bahan toksik seperti asap rokok dan alkohol. Gabungan ini meningkatkan risiko kanser mulut dan tekak secara ketara.
4. Amaran awal
Jika lidah terasa terbakar atau tekak pedih ketika makan atau minum sesuatu, itu bukan perkara biasa. Kesakitan dan rasa panas melampau adalah tanda bahawa makanan tersebut terlalu panas untuk tubuh.
Dr Yash berpesan untuk tidak mengabaikannya, kerana ia adalah cara badan memberi amaran bahawa tisu sedang mengalami tekanan haba.
Ujar doktor tersebut, pencegahan sebenarnya sangat mudah iaitu membiarkan makanan atau minuman sejuk sedikit sebelum diambil.
"Tidak perlu tergesa-gesa makan ketika masih mendidih. Beberapa minit menunggu boleh melindungi anda daripada masalah kesihatan yang mungkin berlarutan bertahun-tahun lamanya," ujarnya lagi.


