BAYANGKAN pada usia baru mencecah 30-an, ada yang sudah mula merasai kesakitan pada bahagian lutut setiap kali berjalan, menaiki tangga atau bangun daripada duduk.
Rasa tidak selesa itu sering dianggap perkara biasa atau tanda awal penuaan, sedangkan hakikatnya ia merupakan petunjuk awal kepada kerosakan rawan sendi.
ARTIKEL BERKAITAN: Batuk tak sembuh, akhirnya lega lepas cuba air rebusan buah lai... Wanita kongsi ramuan, cara penyediaan
Menurut doktor perubatan dikenali sebagai Dr Anwar Azhari, masalah sakit lutut kini tidak lagi hanya dialami golongan berusia.
Individu berumur 30 hingga 50 tahun yang aktif bersukan, gemar melakukan aktiviti lasak seperti mendaki atau mempunyai pekerjaan yang memerlukan mereka berdiri lama juga berisiko mengalami masalah yang sama.
"Apabila rasa sakit lutut mula dirasai, itu bukan tanda tua, tetapi signal awal bahawa rawan lutut sudah mula haus," jelas Dr Anwar.
Beliau menasihatkan agar orang ramai tidak berlengah mendapatkan rawatan sebaik sahaja gejala awal dirasai.
Menurut beliau, hal ini kerana pada peringkat awal, sendi masih boleh diselamatkan dan fungsi lutut dapat dikekalkan seperti sedia kala.
"Kebanyakan pesakit datang mendapatkan rawatan apabila keadaan lutut sudah terlalu teruk. Rawan telah haus, setiap langkah terasa sakit, lutut menjadi bengkak, barulah mereka mencari suntikan.
"Ketika itu, rawatan masih boleh diberikan, namun kesannya biasanya lebih perlahan dan tidak optimum," jelasnya.
Berenang dapat mengurangkan tekanan pada sendi dan membantu menguatkan otot tanpa menyebabkan kesakitan yang berlebihan. -Gambar hiasan
Dr Anwar turut menjelaskan bahawa rawatan awal dapat membantu mencegah kerosakan sendi yang lebih serius.
"Pada peringkat awal kesakitan, rawatan suntikan seperti Hyaluronic Acid (HA) boleh membantu melicinkan sendi dan mengurangkan geseran.
"Sementara itu, Platelet Rich Plasma (PRP) pula berfungsi merangsang proses penyembuhan serta mengurangkan keradangan pada bahagian lutut," katanya.
Beliau menegaskan bahawa kedua-dua rawatan ini lebih sesuai bagi individu yang masih aktif dan ingin mengelakkan pembedahan, bukannya untuk pesakit yang sudah mengalami kerosakan sendi yang teruk.
Selain rawatan perubatan, Dr Anwar turut menekankan kepentingan penjagaan gaya hidup bagi mengekalkan kesihatan sendi lutut.
Antara saranan beliau adalah:
1. Mengamalkan pemakanan tinggi kolagen bagi menyokong struktur rawan dan sendi.
2. Mengawal berat badan supaya berada pada tahap ideal, kerana obesiti meningkatkan tekanan pada sendi lutut.
3. Melakukan aktiviti fizikal seperti berenang dan berbasikal.


