KANAK-kanak yang aktif sememangnya cenderung untuk berpeluh, terutamanya ketika bermain atau selepas melakukan aktiviti fizikal.
Di Thread, seorang wanita membangkitkan persoalan mengenai masalah bau badan anaknya selepas hampir seharian berada di sekolah.
"Guys, ada apa-apa tip untuk anak tak bau telur lepas balik sekolah? Korang mandikan (anak) guna sabun apa?
"Pakai losyen, minyak wangi, body mist atau deodoran ke? Dia baru darjah dua. Bau macam baru habiskan telur rebus sepapan," tulis wanita itu.
Di ruangan komen, seorang wanita memberi saranan supaya kaum ibu sentiasa memastikan anak-anak mandi dengan betul bagi mengatasi masalah bau badan.
"Jangan biarkan anak-anak mandi sendiri. Awak kena mandi, sentalkan daki-daki dekat belakang badan dan belakang kaki.

Bau badan kanak-kanak boleh diatasi dengan cara mandi yang betul. -Gambar hiasan
"Sental leher, rambut pun kena syampu lama sikit. Hari-hari buat, Insya-Allah bau tu akan kurang. Lepas tu dekat kolar baju anak letak sikit pewangi," kongsinya.
Seorang lagi wanita berkata cecair pencuci pakaian juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah bau badan kanak-kanak.
"Jujur cakap, selalunya murid yang bau wangi sebab bau baju dia. Bau cecair pencuci atau pewangi pakaian berbau kuat, sampai balik sekolah kekal berbau," kongsinya pula.
Beberapa lagi netizen turut memberi cadangan seperti memakaikan gel rambut dan deodoran yang selamat untuk kanak-kanak.
"Saya pakaikan gel rambut kanak-kanak. Memang anak saya dah tak berbau telur tu. Rasanya bau telur datang daripada peluh rambut.
"Mungkin boleh pakaikan deodoran, beli yang selamat untuk kanak-kanak. Sekarang banyak jual deodoran yang natural," tulis netizen lagi.


