DAKWAAN mengenai buah anggur import jenis 'Shine Muscat' yang dikatakan membahayakan kesihatan bukanlah satu isu baharu.
Kali ini, seorang pengguna aplikasi Thread turut berkongsi amaran sama tentang risiko pengambilan buah berkenaan.
Dalam hantaran pada Rabu, dia mendakwa seorang wanita dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital yang tidak dinyatakan lokasi gara-gara buah import itu.
"Saja nak pesan, hati-hatilah makan anggur Shine Muscat tu.
"Mak cik sebelah katil aku dalam wad ni, baru je keluar ICU sebab makan Shine Muscat.
"Dia kata masa makan tu memang rasa something macam ubat. Kemudian dia terus sakit kepala, batuk dan penat-penat," tulisnya.
Reaksi netizen
Di ruangan komen, beberapa lagi individu turut berkongsi pengalaman sama yang dihadapi mereka.
"Betul. Hari tu beli dan makan dengan anak. Lepas tu, dua-dua batuk. Padahal masa tu tiada siapa yang batuk pun. Jadi memang sebab anggur tu la.
"Suami saya kalau makan anggur Shine Muscat tu mesti batuk teruk. Memang tak bagi makan dah sekarang.
"Lama tak makan anggur sebab memang punca batuk berpanjangan. Walaupun sedap, tapi tak nak dah.
"Makan buah ni la sampai demam dan batuk berdarah. Naik tonsil. Terus kena jangkitan kuman dalam darah," tulis beberapa netizen.
Teknik cucian
Seorang lagi individu di ruangan komen turut berkongsi teknik cucian bagi mengelakkan risiko ketika memakan buah import.
"Saya basuh dulu buah tu dengan air garam. Rendam sekejap. Alhamdulillah, okey setakat ini," tulis seorang lagi wanita.
Pada tahun lalu, The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) mendakwa anggur jenis itu mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL).


