suria

Tak serik diculik tentera Israel, Dr Fauziah sertai gelombang ketiga flotilla misi bantuan ke Gaza

Dr Fauziah merupakan salah seorang daripada sembilan delegasi Malaysia yang menyertai gelombang ketiga flotilla kemanusiaan ke Gaza. -Foto TT Dr Fauziah

"SAYA tidak akan pernah serik demi G (Gaza). Semoga Allah reda usaha kecil ini."

Demikian bait ayat yang dinukilkan oleh Dr Fauziah Mohd Hassan, salah seorang daripada sembilan delegasi Malaysia yang kini dalam pelayaran gelombang ketiga flotilla kemanusiaan menuju ke Gaza.

Siapa sangka, selepas sembilan tahun, beliau sekali lagi belayar ke Gaza dengan penuh semangat dan tekad yang tidak pernah luntur, membawa harapan serta bantuan kepada rakyat yang terperangkap dalam konflik yang berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu Iktiraf Dr Fauziah Sebagai Wanita Besi

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Dah Jangka, Sedia Hadapi Situasi Ini - Suami Dr Fauziah

Dr Fauziah, 68, adalah lambang keberanian dan ketabahan wanita Malaysia yang tidak gentar tampil di barisan hadapan dalam misi kemanusiaan antarabangsa. 

Siapa sebenarnya wanita hebat ini? Berikut mStar kongsikan 10 fakta mengenai beliau: 

1.  Wanita Malaysia pertama menyertai pelayaran ke Gaza dalam misi 'Women's Boat to Gaza' pada 2016. 

Merakamkan kenangan bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar (kiri) sewaktu misi 'Women's Boat to Gaza' pada 2016.

2. Seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Kuala Lumpur sejak 1997.

3. Ketika misi 'Women's Boat to Gaza', kapal Zaytouna Olivia yang dinaiki Dr Fauziah dan 12 peserta misi lain dipintas ketika sudah hampir ke perairan Gaza. Mereka ditahan dan diculik oleh tentera Israel, namun dibebaskan selepas 42 jam. 

4. Berkongsi pengalamannya ditahan Israel menerusi buku berjudul 35 Batu Nautika.

5. Sangat aktif dalam aktiviti kemanusiaan, bermula sebagai Bendahari Persatuan Medical Relief Malaysia (MERCY Malaysia) (2000-2006) dan mengambil bahagian dalam misi untuk Kosovo (1999), Maluku Indonesia (2000), Afghanistan (2001, 2002,2003), Aceh (2005), Pakistan (2005) dan Gaza (2009).

Bersama delegasi Malaysia yang turut serta dalam misi flotilla ke Gaza ketika ini.

6. Ahli Majlis Lembaga Pemegang Amanah MyCare, penasihat Rose2Rose (R2R) iaitu satu lagi agensi di bawah MyCare yang mempunyai fokus memperkasakan wanita dan kanak-kanak.

7. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan daripada University of Tasmania, Australia. 

8. Anak kelahiran Kuala Terengganu.

9. Antara pengiktirafan yang diterima adalah Tokoh Aktivis Palestin Antarabangsa (2014), Tokoh NGO Islam (Kategori Wanita) (2017), Anugerah Khaulah Al Azwar (2016) daripada kerajaan Terengganu.

10. Belayar ke Gaza menaiki kapal Conscience. Suami beliau, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali juga turut serta dalam misi pelayaran gelombang ketiga flotilla ini. 

Ketika pelayaran di atas kapal Conscience ke Gaza.

"Pada 2016, saya satu-satunya peserta flotilla dari Malaysia ke G (Gaza). Tahun ini amat istimewa buat saya kerana sahabat dan insan yang mengizinkan saya ke flotilla sembilan tahun lalu ada di sisi," ujarnya. 

Untuk rekod, gelombang ketiga flotilla kemanusiaan berlepas secara berperingkat bermula 30 September lalu menuju ke Gaza dengan membawa 100 peserta terdiri daripada wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.

Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) and Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

Artikel Lain