PENJUALAN rokok elektronik seperti vape secara terbuka sememangnya membimbangkan, apatah lagi ia juga boleh diakses dengan mudah oleh remaja dan kanak-kanak.
Di aplikasi Thread, seorang individu mendakwa abang iparnya menunjukkan sikap yang pelik gara-gara menghisap vape.
"Kepada lelaki yang suka hisap vape, tolonglah berhenti. Kalau dah ketagih sangat, tukar ke rokok daun pun jadilah.
"Abang ipar aku ni dah terlalu ketagih vape sampai dia dah jadi khayal. Meleleh air liur, dah mula cakap merapu.
"Jalan pun terhuyung-hayang macam orang mabuk," tulis individu itu menerusi perkongsiannya.
Segelintir individu menghisap vape dengan alasan untuk berhenti merokok. -Gambar hiasan
Dakwanya lagi, sikap pelik abang iparnya itu turut menyusahkan ahli keluarga dan disifatkan seperti budak-budak.
"Apabila vape tu tak ada kat tangan dia, dia dah mula menggelabah cari merata. Kesian mak mentua aku kena uruskan dia macam budak kecil," tulisnya lagi.
Di ruangan komen, beberapa netizen berkata vape yang digunakan oleh abang ipar pengadu berkemungkinan dicampur dengan bahan terlarang.
"Itu bukan vape biasa. Dia yang nak jadi macam tu hisap flavour mushroom.
"Ini semua capuran dalam flavour tu. Vape tak ada apa pun, perisa tu sekarang orang campur dengan dadah.
"Itu flavour dadah tu. Kalau dibawa ujian urin pun tak sangkut. Tapi kalau overdose benda tu boleh berbuih mulut. Usus pun rosak.
"Itu bukan vape. Dia hisap flavour mushroom," tulis beberapa netizen.
Untuk rekod isu penjualan vape yang mengandungi bahan terlarang sedang giat dibanteras pihak berkuasa.
Terbaharu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera terhadap penjualan produk itu secara dalam talian.
Arahan itu dikeluarkan susulan kebimbangan serius terhadap penyalahgunaan rokok elektronik yang kini turut melibatkan bahan terlarang.