suria

Baru je sapu tapi rumah dah kembali berhabuk... Rupanya anda terlupa 5 elemen penting ini

Rak kasut serta permaidani juga boleh menjadi perangkap habuk di kediaman anda. -Gambar hiasan

BAGI insan yang bekerja, mungkin mereka boleh mengemas rumah pada hujung minggu sahaja.

Namun, terdapat segelintir individu yang tetap mencari masa untuk menyapu ruang dalam kediaman setiap hari.

Di sebalik usaha gigih itu, masalah habuk dan debu bagaikan tidak berkesudahan.

Mungkin puncanya bukan pada cara anda menyapu, tetapi ada faktor lain yang menyebabkan rumah sentiasa berhabuk.

Jom semak lima sebab utama mengapa rumah anda masih berhabuk walaupun kerap dibersihkan.

1. Kipas

Kipas boleh menjadi 'pengumpul habuk' yang utama. Apabila kipas berpusing, habuk yang melekat pada bilahnya akan terbang ke seluruh ruang. Ramai yang lupa membersihkan kipas secara berkala. Jadi, pastikan anda lap bilah kipas sekurang-kurangnya seminggu sekali.

2. Tingkap dan pintu

Ramai yang suka membuka tingkap demi mendapatkan pengudaraan lebih baik untuk rumah. Ia memang bagus, namun perbuatan ini juga menyebabkan habuk luar masuk dengan mudah, terutama jika anda tinggal berhampiran jalan raya utama atau kawasan pembinaan.

Cuba hadkan masa tingkap dibuka dan pertimbangkan penggunaan jaring halus sebagai penapis habuk.

Jangan lupa bersihkan kawasan tersembunyi dalam kediaman anda. -Gambar hiasan

3. Karpet

Karpet yang kelihatan bersih pada permukaannya mungkin menyimpan habuk di bahagian dalam.

Menyapu sahaja tidak mencukupi, sebaliknya anda perlu membersihkannya menggunakan pembersih hampagas (vacuum) secara berkala dan jemur di bawah matahari untuk membunuh hama serta menyingkirkan habuk tersembunyi.

4. Perabot

Selalunya kita hanya fokus pada lantai dan permukaan yang mudah dicapai, tetapi habuk suka berkumpul di tempat tinggi seperti atas almari, rak kasut, bingkai gambar, serta bahagian atas peti sejuk.

Jadi, anda perlu membersihkan kawasan-kawasan ini sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan rumah bebas habuk.

5. Pendingin hawa

Ramai lupa pendingin hawa juga boleh menjadi sumber habuk jika penapisnya kotor.

Jika anda menggunakan aircond secara kerap, bersihkan penapis sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk memastikan udara yang keluar tidak tercemar dengan habuk halus.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia