TIDUR sambil mendengar lagu-lagu kegemaran menjadi tabiat biasa bagi kebanyakan individu.
Suatu masa lalu, ramai yang tidur sambil mendengar putaran lagu di radio.
Kini, ramai yang menggunakan platform YouTube dan Spotify untuk mendengar muzik sambil melelapkan mata.
Maka, timbul persoalan sekiranya mendengar muzik boleh membantu anda mendapatkan tidur yang lena.
Menurut laman sesawang Sleep Advisor, tidur sambil mendengar lagu yang menyenangkan boleh membantu anda lelapkan mata lebih cepat dan mendapat rehat berkualiti.
Jika mendengar lagu menjadi sebahagian daripada rutin malam anda, ia sudah pasti boleh membantu untuk melelapkan mata dengan lebih mudah.
Rutin memainkan lagu sebelum tidur akan memberi isyarat kepada tubuh bahawa sudah tiba masanya untuk berehat.
Tak semua genre muzik sesuai didengari pada waktu sebelum tidur. -Gambar hiasan
Anda mungkin akan mendapati diri lebih mudah terlelap kerana tubuh sudah dilatih untuk memahami bahawa itu adalah waktu tidur.
Selain itu, muzik juga boleh membantu kita berehat, terutamanya jika lagu tersebut berada dalam julat 60 hingga 80 BPM (denyutan seminit).
Kadar ini paling hampir dengan kadar denyutan jantung ketika kita berehat, maka ia memberi kesan yang menenangkan secara biologi.
Muzik yang kita nikmati juga merangsang penghasilan serotonin, iaitu bahan kimia 'gembira' dalam otak.
Maka, ia menjadi lebih mudah untuk anda tidur dan kekal lena apabila berada dalam mood yang positif.
Nasihat
Elakkan tidur dengan fon telinga jenis wayar untuk mengelakkan risiko terbelit pada leher tanpa kita sedari.
Malah, fon telinga itu juga boleh menyebabkan rasa tidak selesa jika anda tidur mengiring.
Paling menakutkan ialah nekrosis, iaitu keadaan tisu badan mati akibat kekurangan aliran darah.
Secara teori, tekanan daripada fon telinga yang dikenakan terlalu lama boleh menyekat aliran darah dan menyebabkan nekrosis.