SEORANG pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menasihatkan para isteri supaya memastikan nama mereka didaftarkan sebagai penama simpanan KWSP suami bagi mengelak masalah apabila berlaku kematian.
Wanita itu berkongsi pengalaman menguruskan kes apabila penama KWSP seorang ahli adalah ibu bapa yang sudah berusia.
Situasi menjadi tegang apabila adik-beradik iparnya enggan membenarkan mentuanya mengeluarkan wang simpanan tersebut, sekali gus menyukarkan balu mendapatkan bahagian untuk anak-anaknya.
"Adik-beradik arwah suaminya ramai dan hamak duit tu. Mereka tak bagi ibu bapa keluarkan duit.
"Jenuh si isteri menghubungi mentua untuk meminta bahagian anak-anak, tetapi dihalang adik-beradik arwah. Kejam sungguh,” katanya.
Jelas wanita itu, mengikut prosedur, selepas penama menerima wang KWSP, pembahagian secara faraid perlu dilakukan berdasarkan surat kuasa yang dikeluarkan oleh mahkamah.
"KWSP hanya membayar kepada penama yang didaftarkan oleh ahli semasa hayatnya dan tidak berhak campur tangan dalam urusan pembahagian selepas itu," katanya.
Terdapat kes perebutan simpanan KWSP apabila ahlinya meninggal dunia. -Gambar hiasan
Justeru itu, wanita itu turut memberikan pautan KWSP berkaitan penama bagi tujuan membantu para isteri.
Syarat membuat penamaan KWSP:
- Berumur 18 tahun ke atas.
- Warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap (PR).
- Bukan warganegara Malaysia yang menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998.
Kelebihan penamaan:
- Memendekkan proses pengeluaran.
- Mengelakkan kos dan kerumitan mendapatkan dokumen pihak ketiga.
- Memastikan simpanan diwarisi pihak yang dikehendaki.
Penamaan boleh dibuat melalui aplikasi KWSP i-Akaun, portal web i-Akaun (Ahli), atau dengan mengisi Borang KWSP 4 di pejabat KWSP.
Ahli juga boleh mengemaskini penamaan melalui i-Akaun (Ahli) dengan hadir ke pejabat KWSP untuk pengesahan cap ibu jari.