TIDAK dinafikan sesiapa sahaja pasti berasa terkejut dan cemas apabila mengetahui menjadi mangsa penipuan atau scammer.
Anda yang mengalaminya, jangan menangis dahulu.
Ini tindakan pantas yang perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas melakukan transaksi pemindahan wang kepada akaun sindiket.
Menurut Duta Anti Scam yang juga Pegawai Bersara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rahmat Fitri Abdullah, tempoh 24 jam yang dimaksudkan adalah waktu akhir mangsa memasukkan duit ke dalam akaun scammer.
"Selepas sedar ditipu dalam tempoh 24 jam, maksudnya waktu akhir masukkan duit... tak kiralah 10 minit yang lepas atau 16 jam sebelumnya," jelas beliau menerusi video TikTok.
1. Terus hubungi NSRC
National Scam Respond Center atau Pusat Respons Scam Kebangsaan merupakan pusat operasi yang menyelaraskan tindakan segera terhadap penipuan kewangan dalam talian.
Anda boleh menghubungi talian nombor 997.
Mangsa penipuan dinasihatkan supaya tidak panik dan cemas.
Mereka akan bertanyakan tentang butiran diri, akaun terlibat dan jumlah transaksi yang berlaku.
Pada masa sama dia melihat sistem berkaitan transaksi yang dilakukan dan terus membekukan akaun tersebut bagi memberhentikan operasi.
Dalam erti kata lain, duit yang masih tersisa dalam akaun yang dinyatakan anda, berjaya diselamatkan.
2. Buat aduan kepada institusi perbankan terlibat
Langkah ini penting kerana terdapat pihak perbankan yang bagus.
Mereka ini sedaya upaya membantu mendapatkan semula wang anda.
3. Jangan lupa buat laporan polis
Segera ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan penipuan bagi memerangi jenayah siber ini.
Anda perlu ceritakan butiran perbualan secara terperinci tentang bagaimana penipuan berlaku termasuk media sosial yang dilayari mahupun iklan.