RAKYAT Malaysia boleh mula membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan, mulai pukul 9 pagi ini.
Portal rasmi www.budimadani.gov.my kini dibuka untuk semakan profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan dilakukan secara automatik menggunakan nombor kad pengenalan tanpa perlu pendaftaran baharu.
Ini maklumat terkini mengenai BUDI95 yang perlu anda tahu.
1. Hanya perlu masukkan MyKad ke dalam alat pembaca di pam minyak untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran.
2. Pembayaran boleh dibuat menggunakan tunai, kad kredit atau debit mahupun e-dompet.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memperincikan kemudahan sistem semakan BUDI95.
3. Resit transaksi akan memaparkan nilai subsidi yang ditanggung kerajaan serta amaun sebenar yang dibayar pengguna.
4. Pemandu e-hailing boleh memohon tambahan kuota melalui portal yang sama.
5. Penggunaan melebihi kuota akan dikenakan harga pasaran semasa.
6. Subsidi petrol RON95 disasarkan kepada rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif.
7. Had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan, berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
BUDI95 memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira pendapatan atau had umur
8. Harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga pasaran tanpa subsidi adalah sekitar RM2.60 seliter.
9. Kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pemansuhan subsidi pukal, yang akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
10. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595 mulai 9 pagi ini.
11. Sejumlah 2.4 juta rakyat Malaysia hilang kelayakan menerima BUDI95 susulan status Lesen Memandu Kompeten (CDL) terbatal kerana tamat tempoh melebihi tiga tahun.
12. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sistem Kementerian Kewangan akan menyekat secara automatik golongan terlibat.
13. Mereka yang terbatal lesen memandu juga perlu menduduki semula ujian memandu bahagian dua dan tiga.