suria

Pelajar IPT buat kerja sambilan berlumba-lumba nak naik pangkat, sanggup buat ‘sumbangan’ ke akaun scammer! Sudahnya rugi RM21,000

Golongan pelajar turut dijadikan sasaran sindiket penipuan. -Gambar hiasan

PENIPUAN atas talian atau jenayah siber semakin meruncing apabila golongan pelajar turut dijadikan sasaran utama.

Apa yang menyedihkan golongan ini dimanipulasikan dengan tawaran kerja sambilan dan cara mudah untuk memperoleh wang.

Baru sahaja melalui situasi getir itu, Ariana Malika mengakui kejadian yang dialami menjadikannya trauma apabila melihat resit mahupun nombor.

Malah dia kini sedang berusaha melunaskan hutang selain mencari wang tambahan untuk majlis kahwin dan membayar yuran pengajian.

Meskipun dibebani dengan masalah tersebut, anak gadis ini tampil berkongsi modus operandi scammer bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa sindiket penipuan sepertinya.

1. Minta pengesahan nama dan alamat

Lazimnya, sindiket penipuan akan meminta mangsa membuat pengesahan nama dan alamat untuk menghantar barang menerusi panggilan telefon.

Ada juga yang menyamar sebagai rakan e-dagang kononnya ingin memberi hadiah penghargaan.

Paling membimbangkan apabila mereka turut menghantar 'hadiah' seperti tumbler digital mahupun botol air ke rumah sebelum menghubungi anda sekali lagi untuk pengesahan penerimaan.

Grup yang disertai untuk memberi maklum balas mengenai hadiah yang diterima.

Grup yang disertai untuk memberi maklum balas mengenai hadiah yang diterima.

2. Diajak menyertai kumpulan WhatsApp

Selepas yakin bahawa mangsa telah terpedaya, mereka akan mengajak anda menyertai grup WhatsApp kononnya untuk memberi maklum balas mengenai hadiah yang diterima.

Malah mangsa 'diumpan' dengan ganjaran baucar TnG eWallet yang diterima.

Mangsa kemudian diminta untuk mengikuti beberapa halaman (Page) di WhatsApp Channel dan ganjaran diperoleh sekitar RM2.10 hingga RM11.

Setiap task yang diberikan akan menerima ganjaran termasuk memuat turun aplikasi daripada Telegram.

Menurut Ariana Malika, kebanyakan individu yang berada dalam kumpulan tersebut adalah golongan suri rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan menangis dulu! Lakukan 3 perkara ini lepas sedar jadi mangsa scammer… Selamatkan wang baki dalam akaun

3. Tawaran kerja sambilan

Mangsa kemudiannya ditawarkan untuk membuat kerja sambilan dengan menjadi ahli pasukan.

Mereka yang berminat perlu mencipta akaun di laman sesawang yang diberikan dan komisen ditetapkan pada kadar RM2.80.

Tawaran komisen mengikut 'pangkat' menjadikan ramai mangsa terpengaruh dan mula berusaha untuk mendapatkannya terutama yang menjadi ejen kerana kadar adalah RM12.80.

Konsep yang diamalkan untuk kenaikan pangkat adalah melakukan sejumlah transaksi sebelum dibayar komisen berganda seperti RM45 akan memperoleh RM85.

Selepas transaksi dilakukan, mangsa diminta untuk melakukan task sebelum layak membuat pengeluaran yang dinyatakan.

Antara task yang perlu dilakukannya.

Antara task yang perlu dilakukannya.

4. Komisen semakin meningkat

Selepas menjadi ahli biasa dengan kadar komisen RM2.80, mangsa yang berjaya melakukan task akan dinaikkan kepada ahli tetap dan layak menerima imbuhan RM4.80.

Bonus yang diberikan membuatkan mangsa tidak sedar 'bahaya' yang menanti sehinggalah diminta untuk menyertai pertandingan misi.

Menurut Ariana Malika, sindiket kemudiannya meminta sejumlah amaun dimasukkan ke akaun mereka.

Disebabkan misi, ramai berusaha memberikan 'amaun' terbaik supaya dipilih untuk task baharu.

Pertandingan yang perlu dimenangi bagi melayakkan mangsa membuat pengeluaran komisen.

Pertandingan yang perlu dimenangi bagi melayakkan mangsa membuat pengeluaran komisen.

5. Pertandingan misi berturut-turut

Konsep pertandingan yang dibina membuatkan semakin ramai berusaha untuk 'menang' termasuk Ariana Malika sehingga dia sanggup melakukan transaksi sehingga berjumlah RM5,200.

"Misi inilah yang mencabut ketenangan aku sampai kena panic attack

"Daripada RM210, kena masukkan RM1,300 dan seterusnya RM5,200," ujarnya yang menggunakan kad kredit untuk melakukan transaksi berkenaan.

Malah Ariana Malika mengakui dia turut meminjam duit orang keliling termasuk menggunakan duit simpanan kahwin kerana masih tidak menyedari diri ditipu

Kos pembaikan data yang perlu ditanggungnya.

Kos pembaikan data yang perlu ditanggungnya.

6. Diminta membuat pembayaran pembaikan data

Selepas berjaya melakukan segala misi yang diberikan, mangsa pastinya teruja untuk membuat pengeluaran.

Namun malangnya, bukan sahaja transaksi tidak dapat dilakukan malah diminta untuk membuat pembayaran pembaikan data.

Masih mempercayai perkara tersebut, Ariana Malika membuat pinjaman kewangan dari institusi perbankan bagi membayar kos berkenaan yang mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM21,000.

Menurut gadis ini lagi, penipuan itu hanya disedari selepas dia cuba mendapatkan bantuan rakan sebelum membuat pinjaman daripada komoditi wang berlesen.

Artikel Lain