PEMILIK hartanah yang menjadikan rumah sebagai sumber pendapatan pasti pernah berhadapan pelbagai ragam penyewa.
Turut melalui perkara sama, seorang lelaki yang berpengalaman mengendalikan lebih 60 buah bilik sewa berkongsi tip untuk elak daripada berurusan dengan penyewa atau pelanggan cerewet.
Menurut Ahmad Burhanuddin, perkara utama yang dititikberatkan adalah penggunaan gelaran dalam mesej.
Malah ia antara kriteria yang ditetapkan semasa menyaring penyewa.
"Ini cara aku filter tenant," ujarnya ringkas di Facebook.
Antara mesej yang diterima daripada golongan profesional. -Foto Facebook Ahmad Burhanuddin
Berkongsi pengalaman, ujarnya, penetapan tersebut dibuat selepas mendapati golongan profesional yang gemar menyatakan gelaran akan sering bersikap dominant dan suka mengarah.
"Antara pengalaman aku urus lebih 60 bilik sewa, aku tidak akan respons pada mesej yang bahasakan diri Dr, Prof, Ir dan sebagainya.
"Antara sifat sesetengah golongan profesional dalam urusan rumah bilik sewa adalah mereka sangat bossy.
"Sebagai contoh mereka akan cakap 'hallo bos, kenapa air slow sangat' atau 'morning bos, wifi boleh kasi laju sikit' mahupun 'mesin basuh tak ada pengering ke'," jelasnya.
Ahmad Burhanuddin juga menggambarkan golongan tersebut boleh menyebabkan dia berdepan tekanan jika dia terus berurusan.
"Boleh sakit jantung aku berurusan dengan penyewa yang bossy ni. Aku buat bilik sewa bukan hotel pay per day yang boleh datang on the spot sekiranya ada masalah.
"Aku ada ramai kawan-kawan doktor, yang tak bahasakan diri Dr dalam perbualan," tambahnya.