MELIHAT perkongsian hasil jualan dan keuntungan pengasas produk atau perkhidmatan yang popular dengan panggilan founder di laman sosial, pasti ramai beranggapan dunia bisnes adalah mudah.
Namun hakikatnya, pelbagai langkah perlu dilakukan sebelum berjaya memperoleh hasil lumayan.
Malah proses mendapatkan pembekal tidaklah semudah yang disangka kerana kemungkinan untuk ditipu adalah tinggi.
Anda yang berhasrat memulakan bisnes tetapi masih teragak-agak, bolehlah mengikuti beberapa tip yang dikongsikan individu dikenali sebagai Wawa Zainal di Thread.
Berpengalaman lebih 10 tahun dalam dunia perniagaan, wanita ini turut menitipkan nasihat supaya tidak tersalah mendapatkan pembekal.
1. Borong terus dari kilang
Jika anda mempunyai lebihan modal dan mampu untuk memborong barang yang ingin dijual, bolehlah terus berurusan di kilang.
Pastikan berurusan dengan pembekal terus dari kilang. -Gambar hiasan
Jangan melalui orang tengah atau kedai kerana harga yang ditawarkan lebih mahal meskipun anda terus ke negara pengeluar seperti China.
Usahakan untuk memborong terus dari kilang kerana terdapat MOQ.
MOQ adalah Minimum Order Quantity iaitu jumlah minimum unit produk yang diperlukan oleh kilang untuk diterima dan dihasilkan dalam satu pengeluaran sekali gus.
2. Kaedah bayaran perlu dititikberatkan
Apabila sudah jumpa pembekal, lebih baik anda membuat bayaran mengunakan RMB (yuan) berbanding dolar Amerika (USD).
Jangan malu dan segan ya, anda boleh minta terus harga RMB kerana peluang untuk menikmati penjimatan adalah tinggi.
Paling penting, guna kaedah imbas QR menggunakan aplikasi popular di sana.
Walau bagaimanapun, ia sesuai untuk harga yang rendah kerana terdapat limit, 5000RMB per transaksi.
Fahami proses penghantaran dan risiko berkaitan. -Gambar hiasan
3. Waspada urusan proses penghantaran barang
Selaku peniaga, anda perlu mengetahui jenis-jenis servis penghantaran atau shipping yang ada.
Untuk makluman, terdapat dua jenis konsep yang sering dipraktikkan iaitu kapal kontena dan air freight (kargo pengangkutan udara).
Kebiasaannya, pengangkutan udara lebih cepat dalam tempoh lima hingga enam hari manakala kapal kontena lebih kurang 25 hari.
Jenis-jenis barang juga mempengaruhi harga shipping kerana produk sensitif dan mudah pecah memerlukan pengendalian yang lebih teliti seterusnya melibatkan kos tinggi.
4. Elakkan penghantaran terus dari pembekal
Bagi yang berjaya memperoleh pembekal, anda dinasihatkan supaya tidak membiarkan mereka menghantar produk atau barangan secara terus ke Malaysia.
Bukan sahaja harga dalam dolar Amerika, kos penghantaran juga lebih tinggi.