suria

Masih ramai ‘kabur’, tertanya-tanya... Ini 12 fakta Global Sumud Flotilla setiap orang perlu tahu

Misi GSF yang disertai oleh peserta dari 46 buah negara mula berlayar pada akhir Ogos lalu. -Foto FB GSF

AWAL pagi Khamis, negara kita dikejutkan dengan insiden penahanan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk dari Malaysia oleh rejim Israel ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza. 

Misi kemanusiaan GSF ini adalah misi terbaharu dengan tujuan menyerlahkan solidariti global dan membawa bantuan kemanusiaan, serta menentang sekatan laut yang dikenakan ke atas Gaza.

Sebelum GSF, semua flotilla besar (sejak 2010) yang cuba memecahkan sekatan ke Gaza telah disekat oleh Israel di perairan antarabangsa antaranya Mavi Marmara dan Freedom Flotilla. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ini senarai kapal, 12 sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel

Perkara ini ternyata membuka mata ramai tentang perjuangan misi flotilla, yang bukan sekadar pelayaran membawa bantuan, tetapi satu bentuk penentangan aman terhadap kezaliman dan ketidakadilan yang telah berlangsung sekian lama di Gaza.

Antara peserta dari Malaysia yang menyertai GSF. -Foto FB Rahmat Sumud Nusantara

Ini 12 fakta yang perlu anda tahu tentang Global Sumud Flotilla (GSF): 

1. Misi GSF adalah konvoi kapal antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan, selain menyatakan solidariti buat rakyat Gaza. Flotilla bermaksud sekumpulan kapal yang bergerak bersama dalam satu misi, manakala Sumud bermaksud keteguhan atau ketabahan. Ia melambangkan kekuatan rakyat untuk terus bertahan walaupun berdepan sekatan dan serangan.

2. Misi GSF kali ini disertai seramai 497 peserta dari 46 negara sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin, dengan lebih 45 buah kapal kecil dan sederhana yang bergerak bersama. 

3. Antara bantuan kemanusiaan yang dihantar adalah seperti ubat-ubatan dan makanan, selain memberi mesej politik bahawa dunia tidak berdiam diri terhadap penderitaan di Gaza. 

Makanan dan ubat-ubatan adalah antara bantuan yang dibawa berlayar ke Gaza. -Foto FB GSF

4. Peserta terdiri daripada gabungan NGO antarabangsa, aktivis kemanusiaan, ahli politik, doktor, wartawan, dan sukarelawan dari pelbagai negara serta agama.

5. Malaysia menghantar 34 aktivis, dengan 23 daripada mereka meneruskan pelayaran memasuki Zon Merah 3 ke Gaza.

6. Flotilla ini berkonsepkan misi aman, justeru kapal awam bersaiz sederhana digunakan sebagai tanda bahawa ini adalah misi kemanusiaan, bukan ketenteraan. Jika kapal besar atau kapal tentera digunakan, akan dianggap sebagai ancaman perang. 

7. Misi ini tidak menggunakan jalan darat kerana sempadan darat Gaza dikawal ketat dan hampir mustahil untuk ditembusi. Laut menjadi laluan simbolik yang lebih bebas untuk membawa mesej solidariti.

8. Flotilla ini disertai oleh pelbagai bangsa dan agama. Ramai aktivis Kristian, Yahudi anti-zionis, serta sukarelawan dari Eropah, Amerika Latin, dan Asia turut serta.

9. Misi ini berdepan risiko besar kerana Israel sering menghalang kapal bantuan dengan ugutan, rampasan, atau serangan.

I condemn in the strongest terms Israel’s interception of the Global Sumud Flotilla. These vessels carried unarmed civilians and life-saving humanitarian supplies for Gaza, yet they were met with intimidation and coercion.By blocking a humanitarian mission, Israel has shown utter contempt not only for the rights of the Palestinian people but also for the conscience of the world. The flotilla embodied solidarity, compassion and the hope of relief for those under blockade. Pic taken from Anwar's Facebook

Rakaman CCTV memaparkan salah sebuah kapal GSF dipintas tentera Israel. -Foto FB GSF

10. Walaupun jika sekatan berlaku, mesej solidariti tetap sampai kepada dunia. Setiap langkah flotilla adalah simbol penentangan terhadap penindasan.

11. Pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia), seramai 12 aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel selepas beberapa kapal mereka dipintas.

12. Antara yang ditahan ialah penyanyi Zizi Kirana, pendakwah selebriti, Heliza Helmi bersama adiknya Hazwani Helmi serta personaliti media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee.

Artikel Lain