suria

Staf junior lapor ke pihak atasan gara-gara satu emoji! Ketahui maksud sebenar sebelum guna ‘pinched fingers’

Elakkan penggunaan emoji ketika komunikasi formal atau profesional untuk mengelakkan salah faham. -Gambar hiasan (kanan)

DALAM era komunikasi digital yang semakin berkembang pesat, penggunaan emoji telah menjadi sebahagian elemen penting dalam menyampaikan mesej dengan lebih ekspresif dan bersifat peribadi.

Walaupun kelihatan mudah dan santai, penggunaan emoji yang tidak tepat boleh menyebabkan salah faham atau situasi yang kurang menyenangkan, terutamanya dalam konteks profesional atau komunikasi dengan individu yang kurang dikenali.

Di laman Threads, seorang individu berkongsi situasi dialami yang mana dirinya dilaporkan kepada pihak pengurusan syarikat gara-gara menghantar emoji 'pinched fingers' dalam komunikasi dengan rakan sekerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual telefon lama tanpa set semula? Awas, data peribadi anda boleh dicuri walau dipadam

"Weh, aku kena report dekat management sebab sent emoji pinched fingers masa mesej pasal kerja. Ini emoji apa? Lucah ke? Rude ke?

"While, that person baru kerja sebulan, dia bagi aku middle finger dia weh! Terkejut aku, sebab ada miscommunication sikit waktu tu. Tapi aku anggap dia hanya bergurau," tulisnya.

Emoji 'pinched fingers' yang memberi konotasi sindiran mengikut budaya Itali.

Perkongsiannya mengundang perhatian warga maya dengan ada netizen menerangkan maksud sebenar emoji berkenaan yang sememangnya memberi konotasi sindiran mengikut budaya Itali. 

"Itu kan Itali punya... kalau translate bahasa kita bermaksud 'apa benda kau ni?" komen seorang netizen.

"Emoji biasanya bermaksud 'Apa ni? atau 'kenapa macam tu?'  dalam nada bertanya atau tak puas hati. Digunakan untuk menyindir, mengeluh atau menunjukkan sesuatu dengan gaya 'drama'," komen seorang lagi netizen. 

Merujuk kepada laman Emojipedia.org, emoji jari mencubit (pinched fingers) sering dikaitkan dengan isyarat tangan masyarakat Itali yang dikenali sebagai ma che vuoi, kadangkala juga dipanggil 'finger purse'.

Di Itali, isyarat ini biasanya digunakan untuk menyatakan rasa tidak setuju, kecewa, marah atau tidak percaya, dan boleh membawa maksud seperti 'Apa yang kamu mahu?' atau 'Apa yang kamu cakapkan ni?'.

Kesimpulannya, elakkan menggunakan emoji dalam perbualan formal atau dalam konteks profesional. 

Artikel Lain