MENJELANG cuti persekolahan atau hujung minggu, ramai dalam kalangan kita memilih untuk beriadah di kawasan air terjun kerana ingin menikmati suasana alam semula jadi yang indah, nyaman dan menenangkan.
Mendengar deruan ditambah pula dengan kedinginan air yang menyegarkan, siapa sahaja yang tidak teruja untuk bermandi-manda bukan?
Namun dalam keterujaan keindahan alam ini, aspek keselamatan sering kali terlepas pandang.
ARTIKEL BERKAITAN: “Patah balik, jangan tangguh!” - Lelaki kongsi ilmu masuk hutan, minta selamatkan diri jika jumpa kawasan ini
Ramai yang alpa terhadap bahaya tersembunyi seperti arus deras secara tiba-tiba, batuan licin, serta kawasan yang dalam dan tidak sesuai untuk mandi.
Menerusi hantaran di TikTok, pemilik akaun @tuan_hutan berkongsi pantang-larang penting kepada mereka yang gemar beriadah di air terjun, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
Pengunjung perlu menitikberatkan aspek keselamatan untuk mengelakkan kejadian tak diingini. -Gambar hiasan
"Macam mana kita nak kenal kawasan tu bahaya atau tidak? Kawasan yang berbuih-buih tu jangan masuk, walaupun nampak kecil. Ada dua sebab.
"Pertama, anda tak boleh terapung dekat situ... handal berenang pun tak kan boleh terapung.
"Kedua, kawasan itu di bawahnya berpusar seperti mesin basuh. Handal macam mana pun kalau dah masuk dalam, berpusing-pusing, ia akan tarik kita," ujarnya.
Dia yang mahir dalam selok-belok alam semula jadi dan banyak berkongsi petua survival di hutan berkata, kebanyakan pengunjung sering bersantai di bawah deruan air yang turun dari atas, tanpa menyedari risiko yang menunggu.
Ujarnya, aksi tersebut bukan sahaja boleh menyebabkan seseorang lemas, malah tidak mustahil boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
Justeru tambahnya, pengunjung dinasihatkan berjaga-jaga untuk mengelakkan aktiviti riadah yang sepatutnya menyeronokkan boleh bertukar menjadi tragedi yang tidak diingini.