suria

Pantang larang ketika hadir pengebumian masyarakat Cina... Jangan salah pilih warna bunga, pakaian

Umat Islam dibolehkan menghadiri pengebumian penganut agama lain asalkan tidak melakukan perkara bertentangan akidah. -Gambar hiasan

DALAM masyarakat majmuk seperti Malaysia, kehidupan harian sering melibatkan interaksi dengan individu atau kelompok pelbagai kaum dan agama. 

Salah satu situasi yang menuntut kepekaan dan adab yang tinggi ialah ketika menghadiri atau menziarahi majlis pengebumian penganut agama lain, contohnya masyarakat Cina.

Ia dilakukan sebagai tanda simpati, penghormatan dan keprihatinan terhadap keluarga si mati yang baru kehilangan insan tersayang.

ARTIKEL BERKAITAN: Staf junior lapor ke pihak atasan gara-gara satu emoji! Ketahui maksud sebenar sebelum guna ‘pinched fingers’

Memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menghadiri pengebumian sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang tidak memeluk Islam dan tidak memusuhi Islam, adalah dibolehkan dan tidak ada larangan, namun hendaklah dihindari daripada melibatkan diri dengan upacara keagamaan mereka.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara penting yang perlu diambil tahu jika mahu menziarahi majlis pengebumian masyarakat Cina, agar tidak menyinggung sensitiviti keluarga si mati.

Member of the public seen praying for their departed at Kwong Tong Cemetery, Kuala Lumpur during the Qing Ming festival. —YAP CHEE HONG/The StarMenziarahi kubur kenalan atau ahli keluarga yang tidak beragama Islam adalah sebagai tanda hormat. -Gambar hiasan

Seorang individu, Adam Kelvin tampil berkongsi adab yang perlu dijaga di majlis berkenaan, sebagai panduan bersama: 

1. Bunga pengebumian

Jika ingin membawa bunga, pilihlah bunga berwarna kuning atau putih. Warna-warna ini melambangkan kesedihan dan rasa dukacita atas pemergian si mati.

Elakkan daripada membawa bunga berwarna merah, kerana warna tersebut dianggap sebagai simbol kegembiraan, dan boleh menimbulkan salah faham.

Dalam kepercayaan masyarakat Cina, warna putih hanya digunakan dalam upacara berkabung, manakala warna merah melambangkan keceriaan dan kehidupan, yang lebih sesuai untuk majlis perkahwinan atau perayaan.

2. Pemberian wang kepada waris

Tradisi pemberian wang semasa majlis pengebumian masyarakat Cina bertujuan untuk membantu keluarga si mati menguruskan upacara pengebumian. 

Para tetamu yang hadir boleh memberikan sumbangan kewangan mengikut kemampuan masing-masing. Wang sumbangan tersebut tidak boleh digunakan oleh ahli keluarga untuk tujuan lain.

Selain itu, nama para penderma turut dicatat sebagai tanda ingatan dan penghargaan. Sekiranya pada masa hadapan keluarga penderma mengalami musibah atau kehilangan ahli keluarga, keluarga yang pernah menerima akan membalas kembali jasa tersebut.

3. Warna pakaian

Digalakkan untuk memakai pakaian berwarna gelap, dengan warna hitam dianggap paling sesuai. 

Sebaliknya, jika yang meninggal dunia adalah individu yang berumur lanjut, contohnya berusia 80 tahun ke atas, tetamu dibenarkan memakai pakaian berwarna merah sebagai tanda kegembiraan atas umur panjang yang telah dicapai semasa hayatnya.

Artikel Lain