DI sebalik cermin gelap dan lampu berkelip konvoi yang meluncur gah di atas jalan raya, setiap kenderaan rasmi pemimpin dunia mempunyai kisahnya tersendiri.
Sama ada Cadillac One milik Presiden Amerika Syarikat yang digelar 'The Beast' atau limosin mewah yang membawa pemimpin dunia lain, setiap satunya lengkap dengan ciri keselamatan yang digabungkan bersama elemen status dan gaya yang melambangkan identiti sesebuah negara.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang tiba di Malaysia pada Ahad bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula Ahad hingga Selasa (28 Oktober), menaiki The Beast sebaik sahaja mendarat.
ARTIKEL BERKAITAN: Donald Trump tiba di Malaysia untuk Sidang Kemuncak Asean
Kehadiran Trump tidak hanya menarik perhatian dunia kerana dasar politiknya, tetapi juga kerana simbol kuasa yang mengiringinya, The Beast, yang terkenal dengan tahap keselamatan yang tiada tandingan.
The Beast bukan sekadar alat pengangkutan rasmi tetapi merupakan sebuah kubu bergerak.
Ia direka khusus untuk menghadapi pelbagai bentuk serangan sama ada ancaman fizikal, biokimia dan juga siber.

Dua buah limosin yang serupa, dengan hanya satu membawa Trump, tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi Ahad. Sebuah lagi kenderaan digunakan sebagai 'umpan' bagi menambah lapisan keselamatan Presiden Amerika Syarikat itu.
Menurut laporan NBC News, pintu penumpang limosin ini tidak mempunyai lubang kunci, hanya ejen Perkhidmatan Rahsia mengetahui cara membukanya.
Setiap aspek reka bentuknya difokuskan sepenuhnya kepada keselamatan maksimum pemimpin paling berkuasa di dunia itu.
Berat The Beast dianggarkan antara lapan hingga 10 tan, dengan penyaduran perisai setebal lapan inci serta lantai berperisai yang mampu menahan letupan bom.
Tingkapnya kalis peluru, pemegang pintu boleh memberi kejutan elektrik kepada penceroboh dan ia turut dilengkapi sistem pelepasan asap bagi mengaburkan pandangan musuh.
Menariknya, limosin ini turut menyimpan bekalan darah yang sepadan dengan jenis darah presiden serta mempunyai sistem oksigen sendiri sekiranya berlaku serangan kimia.

Ketibaan Trump di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keistimewaan The Beast tidak berhenti di situ. Di dalamnya terdapat sistem komunikasi berteknologi tinggi yang membolehkan presiden berhubung terus dengan pegawai kerajaan, ketua tentera dan sekutu antarabangsa dalam sebarang situasi.
Kenderaan ini juga berupaya digunakan untuk mengeluarkan kod pelancaran nuklear dan menyelaras operasi keselamatan, menjadikannya sebuah pusat arahan bergerak yang lengkap dan moden.
The Beast tidak bergerak sendirian, sebaliknya ia sentiasa bergerak bersama kereta umpan (decoy), SUV berperisai dan kenderaan khas lain yang dikawal oleh ejen Perkhidmatan Rahsia.
Dengan gabungan teknologi, keselamatan dan simbolisme, Cadillac One kekal sebagai kenderaan rasmi paling selamat, berprestij dan berkuasa di dunia, benar-benar layak dengan gelarannya, The Beast.


