BOLEH dikatakan hampir setiap individu sukar 'berenggang' dengan telefon bimbit, termasuklah ketika memandu.
Apabila nampak bateri telefon mula 'nazak', tanpa berlengah kita pasti terus mencapai kabel dan cucuk saja ke port pengecasan dalam kereta.
Nampak seperti mudah dan pantas, bukan?
Namun, tahukah anda bahawa tabiat ini sebenarnya boleh mendatangkan keburukan, bukan saja kepada telefon bimbit, bahkan kereta anda sendiri?
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai selalu buat silap, rupanya tak elok cas bateri sampai 100 peratus penuh... Ikut 4 perkara ini jika sayang telefon
Perkongsian seorang mekanik dikenali sebagai @altimatsaujana di TikTok, menarik perhatian ramai apabila dia menjelaskan mengapa perbuatan mengecas telefon di dalam kereta perlu dilakukan dengan berhati-hati dan tidak terlalu kerap.
"Kalau korang nak cas telefon bimbit dalam kereta guna benda ni (port pengecasan), boleh saja tapi jangan kerap sangat.
"Apabila kerap buat, ada benda yang tak best akan berlaku. Risiko pertama, bateri kereta tak tahan lama ataupun senang cerita cepat 'kong'. Sebab korang cas tapi tak start enjin.
"Apabila tak start dan sedang cas, ia tarik secara direct daripada bateri (kereta)," kongsinya.

Mengecas telefon di dalam kereta perlu dilakukan dengan berhati-hati dan tidak terlalu kerap. -Gambar hiasan
Tambahnya lagi, port pengecasan dalam kereta juga boleh rosak jika digunakan terlalu kerap kerana sering dipasang dan dicabut.
"Kedua, port pengecasan pada kereta senang rosak. Ia jadi mudah longgar apabila anda selalu pasang dan cabut.
"Jadi apabila port pengecasan ni longgar, ia tak dapat menghantar arus kepada handphone ataupun apa jua aksesori yang anda guna dekat port ini," jelasnya.
Bukan itu sahaja, tabiat mengecas sambil menggunakan telefon turut meningkatkan suhu peranti dan boleh menyebabkan kerosakan pada bateri telefon itu sendiri.
"Ketiga, telefon bimbit anda boleh jadi panas, anda pun tahu ia akan panas jika overcharge. Lagi-lagi sambil cas, sambil buat panggilan.
"Jadi elakkanlah... jika tak mahu handphone anda rosak, kereta pun tiada masalah.
"Kesimpulannya, bukan tak boleh nak cas dalam kereta, tapi cas hanya apabila betul-betul perlu," akhirinya.


