KISAH mengenai seorang guru wanita yang meninggal dunia gara-gara gangguan pocong di sebuah rumah di Jalan Kebun, Shah Alam kecoh menjadi bualan netizen.
Namun di sebalik rasa simpati, seram dan takut dengan kisah itu, timbul juga tanda tanya tentang kesahihannya.
Malah, timbul juga persoalan tentang jenis-jenis hantu seperti pocong, pontianak dan toyol yang dilihat hanya wujud di Malaysia dan negara jiran seperti Indonesia.
Kenapa tiada pocong di negara mat salih?
Bagi menjawab persoalan ini, ada beberapa perkara yang perlu anda fahami.
1. Budaya
Pertama sekali, hantu sebenarnya adalah 'cap jari' sesebuah budaya.
Ia dibentuk oleh sejarah, kepercayaan dan ketakutan masyarakat yang menciptanya.
Di Jepun sebagai contoh, Yurei (figura pucat berambut hitam panjang) sering dikaitkan dengan tema maruah, dendam dan emosi yang belum terbalas.
Budaya Jepun sangat mementingkan rasa hormat dan penutupan (kehidupan), jadi tidak hairanlah jika hantu mereka sering terikat dengan urusan yang belum selesai.
Kisah hantu pocong dan pontianak popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sementara itu, di Mexico, roh Día de los Muertos dikaitkan dengan upacara sambutan dan memperingati.
Kematian bukan sekadar menakutkan, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada kehidupan, dan hantu-hantu ini digambarkan seperti ahli keluarga yang datang menziarah.
2. Geografi
Persekitaran turut membentuk vibe atau suasana dalam kisah hantu.
Di kawasan sejuk seperti Scotland atau Ireland, wujud kisah roh berkabus yang menghantui kawasan tanah tinggi yang sunyi.
ARTIKEL BERKAITAN: Berdoa tak mahu jumpa gajah, pemandu lori terkejut ‘ditegur’ bunian di laluan Gerik-Jeli - “Pakai baju putih, muka kabur”
ARTIKEL BERKAITAN: Geng remaja cari penyakit seru hantu malam Jumaat! Seorang jadi ‘sasau’ lepas nampak pocong muncul dari kubur lama
Di tempat yang mengalami musim sejuk melampau seperti Scandinavia, muncul kisah roh jahat berais.
3. Sejarah
Peperangan, wabak penyakit, dan peristiwa tragis meninggalkan banyak sisa emosi. Jadi sisa inilah yang sering berubah menjadi cerita hantu.
Contohnya Eropah, dengan ratusan tahun sejarah penuh peperangan, istana lama dan wabak maut, tidak hairanlah benua itu dipenuhi dengan kisah istana berhantu, penunggang tanpa kepala dan roh yang tidak tenang.
4. Agama dan kehidupan selepas mati
Kepercayaan agama juga memainkan peranan besar tentang bagaimana hantu digambarkan.
Di negara yang majoritinya penganut Katolik, hantu sering dikaitkan dengan roh yang mencari penebusan dosa.
Di negara majoriti Hindu seperti India, hantu pula mungkin berkait dengan konsep karma atau kelahiran semula.
Di Malaysia pula yang majoriti penduduknya beragama Islam, hantu pocong sering digambarkan seperti jenazah yang dikafankan.
5. Hiburan
Filem, buku, dan rancangan televisyen turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan kisah-kisah hantu di sesebuah negara.
Apa yang dipaparkan kepada penonton secara berterusan akan melekat di dalam kepala mereka.
Lama-kelamaan, ia akan menjadi sebati dan dianggap seperti fantasi yang hidup dalam realiti kehidupan sebenar kita.