SETIAP kali cuti hujung minggu, ada sahaja aktiviti yang dirancang untuk menghilangkan kebosanan.
Selepas puas meneroka kafe-kafe hipster di Kuala Lumpur, Nisa (bukan nama sebenar) akhirnya memilih untuk mendekati alam.
Pada tengah hari Sabtu lalu, Nisa dan dua rakannya, Ain dan Syikin memulakan perjalanan menuju ke sebuah pantai di Negeri Sembilan.
Mereka merancang untuk mandi manda di pantai dan menginap satu malam di sana sebelum kembali ke Kuala Lumpur keesokan hari.
Masih ada pengunjung yang melakukan aktiviti di pantai walaupun hari sudah senja. -Gambar hiasan
Setibanya di kawasan peranginan itu, Nisa membawa rakan-rakannya ke pantai yang sedikit terpencil.
Menurut Nisa, dia tahu mengenai 'hidden gem' itu menerusi video TikTok.
Tambahnya lagi, lokasi itu lebih menarik dan tenang memandangkan ia tidak dikunjungi ramai orang.
ARTIKEL BERKAITAN: Kisah hantu Jalan Kebun buat ramai terfikir, kenapa pocong tak wujud di negara mat salih? Ini penjelasan ikut logik akal
ARTIKEL BERKAITAN: Berdoa tak mahu jumpa gajah, pemandu lori terkejut ‘ditegur’ bunian di laluan Gerik-Jeli - “Pakai baju putih, muka kabur”
Ketika itu, jam menunjukkan pukul 7.10 petang, malah langit juga sudah bertukar kemerahan menandakan senja bakal berlabuh.
Dengan penuh teruja, Nisa masuk ke dalam air dan meminta Syikin merakam video dia berenang ketika matahari terbenam.
Entah apa yang merasuk, Nisa mengilai dengan nyaring dan mula berenang ke kawasan yang lebih dalam.
Pengunjung ambil kesempatan untuk mandi pantai ketika ombak tenang. -Gambar hiasan
Syikin dan Ain pada awalnya menganggap dia hanya bergurau, namun mereka tetap memanggil Nisa untuk kembali ke daratan.
Beberapa minit kemudian, mereka melihat tangan Nisa mula terkapai-kapai dan kepalanya tenggelam timbul dibadai ombak.
Namun mujurlah dia berjaya diselamatkan oleh beberapa penduduk setempat yang terdengar jeritan cemas Syikin dan Ain.
Selepas dibawa ke darat, Nisa menangis teresak-esak dan memberitahu dia sebenarnya tidak sedar tentang tindakannya itu.
Kata Nisa, dia melihat ada kelibat yang memanggil-manggil dari tengah laut, membuatkan dia tertarik untuk mendekatinya.
Menurut seorang lelaki yang menyelamatkannya, Nisa mungkin dirasuk oleh hantu air yang muncul pada waktu senja.
Malah kata lelaki itu lagi, sudah beberapa kejadian lemas berlaku pada waktu senja yang mana semua mangsa mengakui tidak sedar akan tindakan mereka.