DEMI nafsu, seorang wanita warga asing yang berkahwin dengan lelaki tempatan sanggup melakukan perbuatan terkutuk bagi memastikan kasih sayang suami utuh padanya.
Namun tindakan itu akhirnya memakan diri apabila mula mengalami gangguan fizikal dan rohani yang semakin membimbangkan.
Kisah ini diceritakan semula di media sosial oleh seorang individu berdasarkan pengalaman melihat ibunya merawat wanita warga Indonesia berkenaan.
"Ada seorang perempuan datang jumpa arwah mak saya dalam keadaan pelik. Dia berpakaian serba merah, mekap tebal sampai pipi merah menyala.
"Tangan penuh barang kemas. Dia kata badan sakit, selalu mimpi kena pukul dan pijak. Bangun tidur badan lebam-lebam dan hati dia selalu resah," cerita individu terbabit yang juga seorang perempuan.
Menurutnya pesakit terbabit sudah mencuba pelbagai rawatan di banyak tempat namun masih tidak sembuh.
Hasil pemeriksaan dan 'imbasan', ibu wanita berkenaan memberitahu pesakit bahawa tidak ada sebarang unsur mistik atau gangguan luar biasa dapat dikesan.
Bagaimanapun dia berkeras mahu diperiksa berkali-kali, malah menuduh ayahnya di Indonesia menghantar sihir kerana sudah lama tidak mengirim duit ke kampung.
Memasak untuk suami dapat mengeratkan hubungan dalam rumah tangga. -Gambar hiasan AI
"Tapi arwah mak saya tak nampak apa-apa. Apabila ditanya sama ada pernah buat salah dengan sesiapa, dia nafikan. Mak suruh dia balik dan fikir elok-elok," katanya.
Seminggu kemudian, wanita itu datang semula dalam keadaan lebih teruk apabila wajahnya lebam-lebam dan kelihatan tua serta tidak bermaya.
Dalam tangisan, wanita itu akhirnya membuat pengakuan ada memberi suaminya makan dan minum campuran darah haidnya.
Akuinya, perbuatan terkutuk itu dilakukan semata-mata untuk memastikan lelaki itu setia dan menurut segala kemahuannya.
"Setiap kali datang bulan, dia kumpul pad berdarah, rendam lalu rebus dan gunakan air itu untuk masak nasi, lauk dan dijadikan minuman suami.
"Dia takut suaminya tinggalkan dia sebab mereka berkahwin 'cara kampung' sahaja di sini. Tak ikut undang-undang Malaysia," cerita individu berkenaan lagi.
Tambah pesakit itu, hasil perbuatannya memang 'menjadi' apabila suaminya terlalu sayangkan dan tidak pernah meninggalkannya.
Namun apa yang tidak dijangka, perbuatan khurafatnya itu memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
"Dosa besar buat darah haid jadi makanan orang. Lagi-lagi suami sendiri yang asalnya memang orang baik, solat tak tinggal dan rajin mengaji.
"Jadi disebabkan itu la dia dapat sakit macam ni. Arwah mak ada cakap yang dia nampak satu benteng (pertahanan rohani) pada suami wanita itu.
"Benteng itulah yang melindungi suami daripada perbuatan jahat si isteri selama ini," katanya.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa apa sahaja amalan jahat atau perbuatan melampaui batas agama pasti akan ada balasannya.
Turut diingatkan juga, perbuatan khurafat adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan akidah serta keimanan seseorang.