suria

Anak ketagih makan telur, suami ada 'kembar' petanda gangguan hantu raya... Kata-kata mentua rupanya bukan gurauan

Gangguan makhluk halus berlaku dengan izin Allah. -Gambar hiasan

SEORANG wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia empat tahun mengalami perubahan tingkah laku luar biasa, termasuk 'ketagihan' melampau terhadap telur dan menjadi penakut secara tiba-tiba, dipercayai akibat gangguan makhluk halus.

Menurut wanita berkenaan, anaknya mampu makan sehingga empat biji telur sehari, termasuk telur masin yang dibeli bersama nasi kandar.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ain berkata, keadaan bertambah pelik apabila anaknya, Umar tiba-tiba menangis menghadap cermin sambil menunjuk ke satu sudut dan menyebut perkataan 'hantu'.

“Saya sangka dia bergurau, tetapi beberapa hari kemudian saya sendiri nampak kelibat hitam mengikuti suami pulang dari rumah mentua.

"Hati saya terus rasa tak sedap. Naluri seorang yang pernah kena histeria saya tahu ada ‘benda’ ikut suami pulang.

"Mentua saya pernah bergurau ada hantu raya apa! bila tahu Umar suka makan telur. Saya hanya tersenyum, tapi jauh di hati terasa macam betul," kongsinya di media sosial.

Lebih merisaukan, suri rumah itu mendakwa dia beberapa kali ternampak ‘suaminya’ di dalam rumah, namun pada masa sama suami sebenar berada di tempat lain.

“Pernah pagi selepas saya kerja syif malam, suami masuk bilik dan tidur sebelah saya. Bila bangun tengah hari, suami tiada dan mentua kata dia bekerja dari pagi. 

"Bila saya tanya suami melalui mesej, dia marah dan kata tak pernah balik,” jelasnya.

Hijab terbuka membolehkan individu melihat makhluk ghaib. -Gambar hiasanHijab terbuka membolehkan individu melihat makhluk ghaib. -Gambar hiasan

Gangguan dikatakan semakin 'rancak' apabila pintu bilik diketuk, tingkap digoncang dan makhluk berwarna hitam muncul dari pintu tandas.

"Setiap pagi selepas Subuh, pintu bilik diketuk. Bila saya tanya, tiada jawapan. Kadang-kadang tingkap digoncang.

"Pagi itu, selepas Subuh saya baring sambil main telefon. Badan menghadap pintu bilik air.

"Saya nampak sesuatu merangkak keluar dari atas pintu. Hitam, pekat, dan bergerak perlahan. Saya pura-pura tak nampak. Tapi saya tahu… dia tahu saya nampak," katanya.

Keadaan itu mendorong Ain mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan Islam.

Menurut ustaz yang merawat, gangguan pada anak adalah disebabkan makhluk yang mengikuti suami pulang, namun makhluk yang lebih besar dikatakan berada pada tubuh Ain sendiri.

“Ustaz beritahu ia adalah hantu raya tak bertuan, tuannya sudah meninggal dunia. Makhluk itu mahu saya dan mahu kami bercerai,” katanya.

Rawatan dijalankan di rumah dengan memagar kawasan menggunakan garam kasar yang telah diruqyah serta air kasturi hitam.

Selepas rawatan, ustaz mengesahkan gangguan tersebut telah tiada, namun menasihatkan keluarga itu menguatkan amalan pendinding.

Bagi mengelakkan gangguan berulang, keluarga tersebut kini mengamalkan bacaan Bismillah lima kali, Ayat Kursi dan ayat kesembilan Surah Yasin setiap kali selepas solat, sebelum tidur dan sebelum keluar rumah.

“Mereka hanyalah makhluk lemah. Allah lebih berkuasa. Semoga keluarga kami dilindungi daripada segala kejahatan manusia, iblis dan syaitan,” kata Ain.

Dia memaklumkan proses rawatan masih diteruskan dan akan menjalani pemeriksaan susulan bagi memastikan gangguan tersebut tidak kembali.

Artikel Lain