RAKAMAN daripada kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah butik pengantin di Seri Kembangan, Selangor ketika premis berkenaan tidak beroperasi selama tiga hari membuatkan pemiliknya merinding.
Menurut cerita pemilik butik berkenaan, CCTV di butiknya hanya akan merakam apabila ia mengesan pergerakan.
"Entah kenapa, tiba-tiba tergerak hati nak tekan untuk tengok rakaman tiga hari sebelumnya. Tekan punya tekan, sampai pada tarikh yang sama, pukul 4 pagi.
"Apabila aku mainkan rakaman tu, terus meremang. Butik bersepah, patung huru-hara. Aku terus call suami suruh tengok sama ada mata aku ni nampak betul atau tak," kongsinya di Threads.
Kejadian misteri boleh berlaku di mana sahaja dengan izin Allah. -Gambar hiasan
Lebih menyeramkan, suaminya yang meneliti rakaman itu terlihat bayangan berambut panjang di tepi kamera, seolah-olah sedang memerhati.
"Paling aku tak boleh terima, CCTV tak rakam pun bagaimana patung tu bergerak atau kedai jadi bersepah.
"Rakaman hanya bermula selepas patung dah bergerak (beralih kedudukan) dan kedai bersepah," katanya.
Jelas wanita itu, kejadian yang berlaku itu bukan kali pertama sebaliknya yang kedua.
"Kali pertama lagi menyeramkan sebab masa tu seminggu tak buka kedai kerana sibuk dengan ekspo dan wedding," katanya yang bagaimanapun tidak menceritakan lebih lanjut kejadian tersebut.