suria

Makanan panas berasap pun dihurung lalat, suami isteri tak sedar jadi sasaran jin pembawa sihir! Insiden waktu senja bongkar segalanya

Sentiasa dihurung lalat merupakan petanda seseorang mengalami gangguan makhluk halus. -Gambar hiasan

MENIKMATI makan malam di luar merupakan perkara biasa bagi Syafikah dan suaminya, Sofi.

Keletihan melakukan kerja seharian di samping kesesakan jalan raya membuatkan mereka berdua memilih untuk tidak memasak pada hari bekerja.

Seperti biasa, mereka ke kawasan sekitar Bandar Baharu Sungai Buloh, Selangor kerana mempunyai pelbagai pilihan restoran dan kedai makan.

Malah di beberapa kedai makan, mereka dikenali sebagai pasangan sejoli oleh pekerja kedai kerana kelihatan mesra antara satu sama lain.

Jika sebelum ini, waktu makan dapat dinikmati dengan pelbagai kisah harian masing-masing kerana tidak terburu-buru.

Namun sejak kebelakangan ini, mereka sekadar mengisi perut dan terus berlalu keluar dari mana-mana kedai makan yang disinggah.

Makhluk halus boleh menyerupai wajah sesiapa sahaja. -Gambar hiasan

Makhluk halus boleh menyerupai wajah sesiapa sahaja. -Gambar hiasan

Mana tidaknya, Syafikah dan Sofi terpaksa mengibas lalat yang sentiasa menghurungi makanan yang dipesan.

Kejadian yang merimaskan itu membuatkan mereka mula berhati-hati dalam pemilihan kedai makan, namun situasinya tetap sama.

Lebih menghairankan apabila meja mereka sahaja yang sentiasa dihurung lalat sedangkan makanan masih panas berasap.

Malah sisa makanan mahupun pelanggan di meja lain tidak diganggu lalat walaupun seekor.

Selepas menyedari kejanggalan tersebut, kedua-dua mereka mula mengalami beberapa insiden pelik di rumah pula.

Imbas Syafikah, kejadian yang paling tidak dapat dilupakan berlaku pada waktu senja hujung minggu semasa suaminya sedang melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyi lagu Ulek Mayang waktu malam masa ‘camping’, 4 sahabat pulang awal! Si penyanyi ‘dipanggil’ terjun sungai

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera tersewa rumah bunian, nampak kelibat wanita berkebaya di tangga... Tinggal solat punca 'ditegur'

Pada hari tersebut, dia berasa gembira apabila disapa dengan panggilan sayang sewaktu sedang mengemas bahagian dapur rumahnya.

Beranggapan suaminya pulang awal, Syafikah terus menyahut dengan gembira sambil melakukan kerja.

Tambahan pula, ketika itu hujan gerimis disusuli bunyi guruh.

Selepas siap mengemas dan memasak, dia terus ke bilik tidur bagi mencari kelibat Sofi.

Bunyi desiran air di bilik mandi membuatkan dia menantikan suaminya di meja makan.

Namun selepas hampir sejam menunggu, dia mula kehairanan kerana suaminya tidak datang ke meja makan untuk menikmati makan malam bersama.

Bimbang sesuatu yang tidak diingini, Syafikah kemudiannya cuba mendapatkan Sofi di bilik air.

Semasa cuba membuka pintu bilik, dia terdengar suara lelaki memberi salam sambil membuka pintu utama.

Terkejut dengan kejadian itu, Syafikah rebah di lantai.

Dia kemudiannya tersedar selepas mendengar bacaan Ruqyah daripada seorang ustaz.

Sihir sering dijadikan 'alat pemusnah' untuk menjatuhkan seseorang.

Sihir sering dijadikan 'alat pemusnah' untuk menjatuhkan seseorang.

Imbau Syafikah lagi, suaminya memaklumkan dia tiba-tiba meracau dan menangis selepas mendengar salam yang diberikan.

Keadaan berlarutan sehingga Maghrib membuatkan Sofi terpaksa memanggil imam di masjid berhampiran bagi membantu.

Selepas menceritakan kejadian yang berlaku, ustaz terbabit menyatakan 'sapaan' yang didengar dan bunyi desiran air mandi adalah petanda gangguan makhluk halus.

Lebih menyedihkan apabila ustaz menyatakan yang gangguan tersebut dibuat oleh orang yang iri hati melihat kebahagiaan dia dan suami.

Malah kata Syafikah, hurungan lalat di kedai makan adalah petanda awal bahawa dia dan Sofi termakan 'benda' kotor yang membuatkan mereka berbau 'busuk'.

Ini kerana lalat sering dikaitkan dengan amalah sihir atau jin yang dihantar untuk mengganggu manusia.

Selepas kejadian yang berlaku itu, dia dan suami mula mendapatkan rawatan sehingga akhirnya bebas daripada gangguan.

Malah perawat menasihati mereka supaya mengelakkan diri daripada sebuah kedai makan yang sentiasa kelihatan penuh di lokasi kegemaran mereka.

Artikel Lain