suria

Wanita terganggu ramai pemandu bagi ‘high beam’ sebelum pecut... Rupanya puaka lebuh raya tumpang atas bumbung kereta!

Kisah misteri di lebuh raya utama sering menjadi bualan ramai. -Gambar hiasan

SETIAP lebuh raya pasti ada 'penunggunya'.

Sama ada baharu atau sudah lama dibina, segelintir pengguna lebuh raya yang 'terbuka hijab' akan mengalami pengalaman misteri.

Tidak terkecuali, pelayar Thread dikenali sebagai Nik Syariah yang melalui sebuah lebuh raya tepat pukul 12 tengah malam.

Berkongsi cerita, pada awalnya dia tidak memahami tujuan beberapa pemandu menyalakan lampu tinggi (high beam) ke arah kenderaannya.

Lebih menghairankan apabila kesemua mereka turut memecut laju selepas memberi 'isyarat' berkenaan.

Selepas melihat beberapa pemandu melakukan perkara yang sama, dia mula berasa tidak sedap hati seolah-olah ada sesuatu yang berlaku.

Makhluk halus mudah dilihat oleh mereka yang mempunyai deria keenam. -Gambar hiasan

Makhluk halus mudah dilihat oleh mereka yang mempunyai deria keenam. -Gambar hiasan

"Aku rasa macam ada sesuatu tapi tak terfikir apa-apa sehinggalah tiba di selekoh yang menghala ke rumah.

"Memang aku dah rasa teruja nak balik sebab dah penat... tak sabar nak rehat. Tapi suami aku pecut lagi sambil cakap tak boleh balik," ujarnya yang mula memahami maksud di sebalik tingkah laku beberapa pemandu di lebuh raya berkenaan.

Rupanya ada 'makhluk' yang menumpang di atas bumbung kenderaan mereka.

Justeru bagi mengelakkan ia tidak ikut pulang ke rumah, mereka kemudiannya singgah di sebuah stesen minyak berhampiran.

Namun malangnya, stesen minyak yang selalunya dibuka 24 jam itu tiba-tiba tutup dan gelap gelita tanpa lampu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lampu suluh terlepas daripada tangan ketika ‘live’ buru entiti, jaguh paranormal disergah penunggu lebuh raya

Susulan itu, dia dan suami meneruskan perjalanan ke sebuah kedai makan.

"Kami singgah minum sebelum balik dan aku memberanikan diri bertanya pada suami. Dia cakap yang kereta tiba-tiba terasa berat dan bergerak perlahan.

"Semasa orang nyalakan high beam, dia ternampak ada kain terbang menerusi cermin pandang belakang," tambahnya lagi.

Menurut Nik Syariah, makhluk tersebut tidak masuk ke dalam kereta sebaliknya berada di atas bumbung.

Pemanduan pada waktu malam lebih selesa dan mudah kerana kekurangan pengguna di jalan raya.

Pemanduan pada waktu malam lebih selesa dan mudah kerana kekurangan pengguna di jalan raya. 

"Rupanya suami aku dah nampak awal masa nak masuk lebuh raya, tapi tak sangka 'benda' tu ikut.

"Masa berhenti di stesen minyak yang gelap tu dalam seminit dua, suami nampak dia turun dan terbang," ujarnya yang turut menzahirkan rasa lega apabila makhluk tersebut hanya sekadar 'menumpang'.

Bagaimanapun, dia dikejutkan dengan insiden tidak dijangka ketika dalam perjalanan ke rumah selepas keluar dari kedai makan berkenaan.

Menurutnya, stesen minyak yang tadinya dilihat tutup, rupanya penuh dengan pelanggan dan terang benderang seperti kebiasaannya.

Dalam pada itu, Nik Syariah berkata, suaminya pernah 'ditumpang' sejak zaman bujang.

"Suami pernah kena sebelum kenal dengan saya lagi, semasa zaman bujang... dia bawa motor.

"Tiba-tiba terdengar bunyi kain terbang, tengok-tengok 'benda' tu ikut terbang sebelah motor," tambahnya.

Artikel Lain