suria

Atendan hospital pengsan, dakwa lihat makhluk merangkak terbalik! Pelik CCTV gagal rakam kejadian

Terserempak dengan kelibat makhluk aneh mampu membuatkan seseorang ketakutan hingga pengsan. -Gambar hiasan

TUGAS atau urusan berkaitan penyeliaan hospital seboleh-bolehnya mahu dielakkan oleh Ahmad.

Sebagai pembantu perawatan kesihatan atau atendan di sebuah hospital, Ahmad lebih selesa menjalankan tugasan rutin seperti membantu memandikan pesakit, menukar cadar, menyelia pesakit untuk rawatan, tugasan di makmal dan lain-lain.

Namun malam ini, dia tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membuat rondaan di kawasan wad dan koridor hospital memandangkan dua rakan setugasnya sedang bercuti.

Bermula di jabatan kecemasan, kemudian forensik, Ahmad meneruskan rondaan di unit patologi dan rehabilitasi.

Tiba-tiba dalam perjalanan ke unit rehabilitasi, pengawal keselamatan yang bertugas di kaunter tengah, Syahrul, menegurnya.

Salah satu rutin seorang atendan adalah mengawal selia unit-unit tertentu di hospital. -Gambar hiasan AI

"Encik Mat. Tadi saya nampak ada anjing masuk dalam kawasan hospital. Saya nak halau tapi dia sempat lari ke unit hemodialisis. 

"Lepas tu saya dah tak nampak dah dia pergi mana. Nanti encik tolong buatkan laporan ye," kata Syahrul.

ARTIKEL BERKAITAN: Makanan panas berasap pun dihurung lalat, suami isteri tak sedar jadi sasaran jin pembawa sihir! Insiden waktu senja bongkar segalanya

Mendengar laporan itu, Ahmad segera berjalan ke unit hemodialisis untuk meninjau keadaan di sana. 

Lampu koridor di sayap bangunan hospital di Sarawak itu malap, dan suasana agak sunyi kerana waktu sudah menghampiri tengah malam. 

Ahmad melangkah perlahan-lahan sambil memerhati sekeliling, bimbang jika anjing yang disebut Syahrul masih berada di situ.

Ketika melalui kawasan koridor belakang, dari cahaya malap, Ahmad ternampak kelibat seperti binatang. 

"Mampus! Macam mana ada binatang masuk dalam kawasan hospital ni. Pening nak menjawab nanti," getusnya di dalam hati.

Ahmad segera menghidupkan lampu suluh yang dibawa bersama dan menghalakan ke arah laluan tengah koridor.

Hospital sering dikaitkan dengan kisah mistik. -Gambar hiasan

Serentak dengan itu, mulut Ahmad hanya mampu melaungkan 'Allahuakbar' apabila cahaya lampu suluhnya tepat menyuluh ke arah satu susuk tubuh aneh di hujung koridor, berhampiran pintu bilik rawatan yang tidak digunakan.  

Degupan jantungnya laju, dadanya terasa seakan mahu pecah, pandangan matanya terus gelap dan dia terus rebah.

Ahmad hanya sedar sejam kemudian di atas katil sebuah bilik rawatan berhampiran kaunter tengah. 

Sambil memandang Syahrul dan seorang lagi pengawal keselamatan yang digelar Haji Wahid, Ahmad menceritakan kejadian yang dialaminya sambil terketar-ketar. 

"Aku nampak satu makhluk berambut panjang macam manusia. Tapi yang peliknya, bentuk dia macam manusia yang merangkak terbalik.

"Matanya merah dan memandang tepat ke arah aku… lepas tu aku tak ingat apa dah," ujar Ahmad.

Keesokannya, Ahmad diserang demam panas dan dia diberi cuti sakit sehingga lima hari. 

Apa yang menghairankan, pada malam kejadian itu juga, kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan koridor unit hemodialisis mengalami gangguan rakaman selama lima minit, tepat pada waktu Ahmad melaporkan ternampak makhluk tersebut.

Artikel Lain