BEKERJA syif malam sudah menjadi kebiasaan buat Amrin memandangkan dia merupakan seorang juruteknik teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat.
Namun sejak seminggu kebelakangan ini, Amrin merasa sedikit kelainan berbanding sebelumnya.
Jika sebelum ini dia sama sekali tidak mempunyai masalah untuk bekerja dari tengah malam hingga dinihari, bagaimanapun perasaan cuak dan takut mula menyelinap masuk dalam dirinya.
Rasa pelik itu muncul selepas dia mula mendengar cerita-cerita mengenai kejadian seram yang kononnya berlaku di pejabat tersebut, terutama selepas seorang staf Sumber Manusia (HR), Puan Selvi, meninggal dunia secara mengejut minggu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Atendan hospital pengsan, dakwa lihat makhluk merangkak terbalik! Pelik CCTV gagal rakam kejadian
Cakap-cakap yang mengaitkan kematian itu dengan gangguan seram di pejabat mulai berlegar-legar, membuatkan dia sering termenung dan resah sendirian.
Satu malam, Amrin yang tamat bekerja syif malam sekitar pukul 1 pagi berkemas-kemas dan bersedia untuk pulang.
Suasana pejabat yang sunyi membuatkan individu yang bekerja pada waktu malam mudah diserang rasa takut. -Gambar hiasan
Ketika melalui kubikel unit Sumber Manusia, hatinya berdebar-debar kerana pesanan Pak Herman yang merupakan pengawal keselamatan di pejabatnya, terngiang-ngiang di telinganya.
"Kalau nampak Puan Selvi HR dekat mejanya, jangan tegur... terus balik," demikian pesanan berkenaan.
Amrin memilih untuk mengikuti nasihat Pak Herman.
Dia berpura-pura tidak memandang kubikel berkenaan dan meneruskan langkahnya seperti biasa walaupun hatinya berdegup kencang.
Ketika mahu mengimbas kad akses pada pintu utama, tiba-tiba telinga menangkap satu suara wanita yang menyapa ramah.
"Nak balik dah ke Amrin?" kedengaran suara seorang wanita, benar-benar mirip suara Puan Selvi.
Amrin terkaku, kedua-dua lututnya seakan-akan lemah dan kakinya pula seperti dipasak pada bumi.
Dalam keadaan peluh yang mulai membasahi dahi dan bulu roma tegak berdiri, minda Amrin masih mampu mengingati saat dia membuka emel yang diterima minggu lalu dari Ketua Jabatan Sumber Manusia, Encik Jauhari.
"Perkara: Ucapan Takziah Atas Pemergian Eksekutif Sumber Manusia, Puan Selvi", demikian tajuk emel yang dihantar kepada setiap kakitangan syarikat.
Menerusi emel berkenaan, dimaklumkan bahawa wanita berusia 49 tahun itu meninggal dunia dalam tidur.
Gangguan mistik di tempat kerja boleh memberi kesan psikologi kepada sesetengah individu. -Gambar hiasan
Mata Amrin mula berpinar-pinar namun dia bertahan dan cuba mengingati ayat-ayat suci al-Quran yang boleh dijadikan pelindung diri.
Dalam hati, dia mula membaca dan mengulangi ayat Kursi perlahan-lahan, sehinggalah kakinya tidak lagi terasa berat.
Dengan kekuatan yang ada, Amrin segera menolak pintu kaca dan berlari sekuat hati menuruni tangga dari tingkat empat ke aras satu.
Ketika di dalam kereta, dia terus memasang alunan ayat suci al-Quran sepanjang pemanduan.
Setibanya di rumah, Amrin rebah di atas katil tanpa menukar pakaian kerja.
Tubuhnya terasa panas, kepalanya berdenyut, dan badannya mula menggigil.
Amrin terpaksa mengambil cuti sakit selama tiga hari kerana diserang demam panas secara tiba-tiba.
Ketika ditanya rakan-rakan sekerja lain selepas dia kembali bertugas, Amrin hanya mampu tersenyum tawar dan menggeleng perlahan.
Dia tidak pernah menceritakan kejadian sebenar yang dialaminya malam itu, bukan kerana mahu berahsia, tetapi kerana dia sendiri masih sukar untuk mempercayainya.
Sejak kejadian berkenaan, Amrin tidak lagi melalui laluan berhampiran kubikel unit Sumber Manusia setiap kali mahu pulang selepas bertugas syif malam.