suria

Hanya sempat rakam 10 minit, 3 ‘content creator’ paranormal disergah makhluk halus! Penunggu rumah usang di Lukut mengganas

Kawasan rumah lama sering menjadi lokasi utama bagi pencarian fenomena paranormal. -Gambar hiasan AI

MINAT terhadap perkara ghaib bukan perkara asing, terutama dalam kalangan anak muda yang gemarkan cabaran dan content luar biasa untuk dikongsi di media sosial.

Begitulah juga dengan tiga sahabat dikenali sebagai  Rashdan, Malik dan Ilyas yang berkongsi satu minat pelik iaiu obses dengan dunia paranormal.

Sejak semester pertama lagi, ketiga-tiganya yang merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam ini sudah mula menjelajah lokasi-lokasi 'keras' seperti bangunan lama dan rumah tinggal.

Berbekalkan kamera, lampu suluh dan sedikit pengetahuan asas mengenai dunia paranormal, mereka menjadikan aktiviti ini sebagai projek suka-suka yang akhirnya menjadi rutin bulanan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak balik dah ke?” - Juruteknik IT tergamam, lemah lutut ‘ditegur’ mendiang Puan Selvi! Pesanan ‘pak guard’ jadi kenyataan

Setiap video yang dimuat naik ke saluran YouTube dan TikTok mendapat sambutan sekali gus membuatkan mereka makin berkobar-kobar mahu menghasilkan content sedemikian.

Namun siapa sangka, keberanian dan keterujaan tiga sekawan itu akhirnya membawa padah selepas berlaku satu kejadian di sebuah rumah lama di Lukut, Negeri Sembilan.

Malam hari kejadian, mereka tiba di rumah kayu dengan reka bentuk tradisional itu sekitar pukul 11.30 malam.

Rashdan dan Ilyas bersiap sedia memasang peralatan untuk rakaman, namun berbeza dengan Malik yang kelihatan banyak berdiam.

Malik hanya memberi alasan dia kurang sihat, tapi tetap ikut kerana tidak mahu mengecewakan pasukan.

Kewujudan makhluk halus dan roh menimbulkan pelbagai persoalan tentang alam yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. -Gambar hiasan

Baru sekitar 10 minit memulakan rakaman, angin yang mulanya bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba kencang sehingga tingkap-tingkap menghentam dinding, seolah-olah akan berlaku hujan ribut.

"Aku rasa... ada benda tengah perhatikan kita," bisik Malik perlahan dan wajahnya pucat.

Rashdan sempat merakam reaksi Malik, namun anak muda itu rebah secara tiba-tiba, tubuhnya menggeletar dan matanya terbeliak.

Daripada mulutnya terkeluar bisikan bahasa yang langsung tidak difahami.

Rashdan dan Ilyas yang cemas terus menghentikan rakaman.

Mereka berdua cuba mengangkat Malik keluar dari rumah itu, tetapi entah kenapa, setiap langkah terasa berat dan sempit.

Nafas mereka sesak, dan bunyi seperti cakaran di dinding mula kedengaran di sekeliling.

Selepas hampir 20 minit berhempas-pulas, mereka berjaya juga membawa Malik keluar dari rumah lama itu.

Malik tidak sedarkan diri sebaik sahaja tubuhnya dibaringkan di bahagian belakang kereta.

Ketika mahu keluar dari simpang, kereta mereka berselisih dengan seorang lelaki tua berkopiah seraya Ilyas menurunkan tingkap.

"Assalamualaikum pakcik, minta tolong bawakan kami ke rumah imam kampung. Tolong kawan saya, pakcik," ucap Ilyas dalam keadaan terketar-ketar.

Mereka bertiga bernasib baik kerana lelaki tua tersebut sebenarnya ketua kampung yang juga imam masjid.

Aktiviti paranormal sering menarik minat individu yang ingin menguji keberanian mereka di tempat-tempat yang dikatakan berhantu. -Gambar hiasan AI

Selepas selesai membacakan ayat suci al-Quran dan merenjis wajah Malik, pemuda itu perlahan-lahan membuka matanya dan terus memeluk kedua-dua sahabatnya itu.

"Pakcik perasan ada kereta masuk ke kawasan rumah lama tu... itu yang pakcik ronda.

"Sebenarnya bukan kamu saja, sebelum ini ada beberapa orang luar datang konon nak buat paranormal, ada yang datang dengan tujuan khurafat.

"Rumah tu sebenarnya tak ada apa pun... pemilik asalnya dulu orang alim. Tapi sejak dia meninggal 60 tahun lalu, rumah tu kosong.

"Apabila manusia mula datang dengan niat tak betul... buka pintu alam yang tak sepatutnya. Benda tu semua asalnya tak ganggu, tapi apabila dipanggil, dijemput dengan cara yang salah... dia datang," kata lelaki tua berkenaan. 

Sejak kejadian itu, ketiga-tiganya tidak lagi aktif melakukan aktiviti paranormal, malah mereka memadam semua rakaman yang dibuat sebelum ini.

Malik pula sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya, bukan dari segi fizikal, tetapi emosi dan spiritual.

Kejadian itu menjadi titik noktah kepada minat mereka dalam aktiviti paranormal. 

Mereka sedar, dunia ghaib bukan sesuatu untuk dijadikan bahan hiburan atau kandungan viral semata-mata sebaliknya ada batas yang perlu dijaga.

 

Artikel Lain

Zaiton Sameon bukan peserta GV12