TIDAK dinafikan ada segelintir individu mengambil remeh soal hutang dan menganggap ia merupakan urusan sesama manusia yang boleh dilambat-lambatkan.
Namun dalam Islam, hutang bukan sekadar janji antara manusia sebaliknya ia menjadi tanggungan hingga ke alam barzakh.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang individu berkongsi kisah penuh pengajaran di mana bapanya menjadi 'orang tengah' selepas si mati hadir meminta bantuan gara-gara hutangnya tidak dilunaskan ketika hidup.
ARTIKEL BERKAITAN: “Itu tangkal... ada khadamnya, jin!” - Pemuda beli dompet ‘bundle’ jumpa lipatan kain kuning bertulisan jawi, ramai suruh hapuskan
Segala-galanya bermula pada malam pertama ketika keluarga si mati, yang juga jiran sekampungnya, mengadakan kenduri tahlil.
"Masa orang tengah berdoa tu, ayah terhidu satu bau yang hamis-hamis terbakar. Puas cari bau dekat mana. Sekali ayah toleh belakang, terus dia terperanjat.
"Sebab 'benda' tu betul-betul belakang ayah sambil memerhatikan ayah.
"Sampailah selesai berdoa dan berbahagi berkat (lauk kenduri), benda tu masih ada dekat belakang ayah," ceritanya.
Wajib melunaskan hutang yang dibuat sehingga selesai, tidak kira kecil atau besar nilainya. -Gambar hiasan
Ujarnya, apa yang mengejutkan, keesokan hari bapanya mendapati kakinya mempunyai kesan lebam sebaik bangun tidur.
"Ayah cakap dia mimpi ada orang menangis-nangis minta tolong. Muka yang menangis tu macam ayah kenal. Tapi tak ingat siapa.
"Masuk berapa hari lepas tu, barulah ayah aku tahu siapa si polan tu. Rupanya arwah yang meninggal tempoh hari.
"Dipendekkan cerita, ayah dapat tahu kenapa si arwah ni kerap datang dalam mimpi. Pertama sebab tali ikatan kepala tu tak di longgarkan dan kedua, hutang yang ditinggalkan terlalu banyak," ceritanya lagi.
Individu itu berkata, bapanya pergi ke rumah keluarga si mati untuk menceritakan perkara yang dialaminya dan percaya bahawa arwah sedang meminta bantuan menerusinya.
Malangnya, isteri si mati enggan percaya malah menuduh bapanya mengadakan cerita dan mempercayai perkara tahyul.
Waris wajar mengambil tahu hutang yang ditinggalkan si mati dan menyelesaikan bagi pihaknya. -Gambar hiasan
Disebabkan ayahnya masih diganggu dengan mimpi yang sama berulang kali, individu itu berkata ibunya terpaksa campur tangan dan turut menemani ayahnya untuk bertemu semula dengan keluarga arwah bagi menjelaskan situasi sebenar.
"Akhirnya salah seorang anak arwah ni percaya dengan mak. Dia akan uruskan bab tali yang tak dibuka tu dengan ketua kampung dan imam.
"Bab hutang tu kata isterinya, tak sangka suami dia tinggal hutang yang banyak. Isteri dia tanya mak, kalau ada pesan dari arwah.
"Mak cakap, arwah tak cakap apa pun tapi munculkan diri dalam keadaan yang tak sempurna. Minta tolong mana-mana ahli keluarga langsaikan hutang walau sikit.
"Bila mak dah cakap macam tu, menangislah si bini arwah ni. Arwah pernah sewa mesin bapa aku nak tolak tanah… kerja selesai, tak bayar sampai ke sudah. Tapi ayah aku dah halalkan," akhirinya.


